PUTRI Ariani dikenali ramai, seorang gadis cacat penglihatan yang memukau penonton America’s Got Talent 2023 (AGT 2023) dengan suara merdu.

Hari ini penyanyi kelahiran Indonesia itu terus memukau juri dengan persembahan penuh bertenaga pada AGT 2023 akhir yang berlangsung di Pasadena Civic Auditorium, California, Amerika Syarikat.

Persembahan mantap dan konsisten Putri atau nama sebenarnya, Ariani Nisma Putri, 17, ketika menyampaikan lagu Don’t Let the Sun Go Down On Me yang dipopularkan Elton John mendapat ‘standing ovation’ daripada empat juri, Simon Cowell, Sofia Vergara, Heidi Klum dan Howie Mandel serta penonton yang hadir menyaksikan acara yang memasuki musim ke-18 itu.

Putri tampil mempamerkan nyanyian penuh penghayatan dengan gaya penyampaian tersendiri sambil memetik piano serta diiringi kumpulan koir.

Malah, setiap kali vokal ampuhnya berjaya mencapai nada tinggi, tepukan dan sorakan gemuruh penonton bergema memenuhi ruang auditorium itu.

Perasaan kagum turut terpancar pada wajah juri yang kelihatan tersenyum gembira melihat kehebatan penyanyi berhijab itu beraksi atas pentas berprestij tersebut.

Baca juga Terima 10 juta notifikasi di media sosial, Putri Ariani terus cetus fenomena

Seperti yang dilihat ketika peringkat awal gadis kelahiran Kampar, Riau ini menyertai program realiti itu, pujian diberi juri terhadap nyanyian Putri bersilih ganti menandakan mereka amat berpuas hati dengan persembahan dipamerkan.

Cowell menyifatkan Putri umpama sebutir berlian yang hanya sesekali muncul dalam pertandingan itu.

“Anda memang dilahirkan untuk melakukan ini dan anda juga berjaya mengatasi banyak hal dalam kehidupan. Saya harap anda berjaya menggapai impian dalam pertandingan ini.

“Anda sememangnya layak,” ulas Cowell yang turut menghadiahkan butang emas atau ‘Golden Buzzer’ pada remaja itu ketika peringkat uji bakat Jun lalu.

Bagi Mandel, Putri antara penyanyi yang cukup konsisten dalam pertandingan itu.

“Dalam setiap rangkap lagu yang dinyanyikan, nada dicapai sangat tepat. Seperti yang pernah saya beritahu sebelum ini, suara dan bakat kamu sangat sempurna.

Baca juga Gadis buta pukau penonton America’s Got Talent dengan suara merdu, raih anugerah Golden Buzzer, 10 fakta menarik Putri Ariani

“Saya suka dengan pilihan lagu. Jika ini hanyalah satu pertandingan, rasanya kamu boleh menang mudah.

“Jadi kita tunggu sahaja Amerika memilih,” ungkapnya.

Iklan

Sementara itu, seorang lagi juri, Klum turut meluahkan perasaan kagumnya terhadap bakat luar biasa dimiliki Putri.

“Ini adalah satu persembahan sangat menakjubkan dan kamu sudah buat yang terbaik. Kamu memiliki suara yang sangat merdu,” kata Klum.

Terharu dengan pujian diberikan juri, Putri yang kelihatan anggun mengenakan baju gaun rona perak senada dengan tudung sempat menitipkan kata-kata semangat kepada mereka yang mahu mengejar impian sepertinya.

“Saya percaya kita semua boleh, berkemampuan dan mempunyai peluang sama rata. Jadi, jangan takut untuk terus mencapai impian.

“Cita-cita kita akan termakbul apabila percaya dalam diri,” luahnya.

Sebelum Putri meninggalkan pentas, Cowell dilihat menuju ke atas pentas dan memeluk Putri sambil berbual-bual. Momen itu dapat dilihat dalam siaran langsung dalam akaun rasmi aplikasi TikTok AGT 2023.

Iklan

Selain Putri, 10 peserta lain yang turut bersaing dalam program ini adalah Mzansi Youth Choir, Avantgardey, Lavender Darcangelo, Chibi Unity, 82nd Airborne Chorus, Anna DeGuzman, Ahren Belisle, Ramadhani Brothers, Murmuration dan Adrian Stoica and Hurricane.

Juara akan diumumkan esok pagi waktu tempatan. Moga Putri Ariani berjaya dan terus gemilang pada masa hadapan!

Sumber: Berita Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!