MASIH hijau dan mentah dalam bidang seni, pelakon Qasrina Karim terbuka menimba lebih banyak pengalaman dalam usaha memantapkan lakonan, sekali gus membina namanya.

Biarpun baru dua tahun aktif sebagai pelakon, Qasrina, 27, bersyukur apabila diberikan pelbagai peluang berkongsi bakat lakonannya terutama selepas muncul dengan filem Kongsi Raya pada tahun lalu.

Terbaru bintang asal Subang Jaya, Selangor ini diberi kepercayaan menjadi teraju utama drama fantasi, Legenda Puteri Qaseh yang kini bersiaran di Astro Ceria pada setiap Isnin, jam 9 malam.

Mengulas penampilannya dalam siri sembilan episod itu, Qasrina mengakui seronok menjayakan drama genre fantasi, apatah lagi digandingkan dengan barisan pelakon hebat seperti Aziz M. Osman, Chew Kin Wah, Chelsia Ng, Yusry Abd Halim dan lain-lain.

“Alhamdulillah saya seronok diberikan peluang bekerja dalam produksi ini yang banyak memberikan pengalaman baharu pada saya.

“Meskipun ia sebuah drama ringan tetapi penggambarannya boleh tahan mencabar kerana ia banyak melibatkan out door dan ada babak lasak seperti naik basikal dalam hutan.

“Memang drama fantasi ini lebih digemari golongan remaja atau kanak-kanak, tetapi Legenda Puteri Qaseh berbeza di mana ia lebih menyeronokkan untuk ditonton bersama seisi keluarga,” ujarnya pada sidang akhbar drama tersebut di The Starling Mall baru-baru ini.

Tidak memilih

Dalam pada itu, selama aktif sebagai pelakon, Qasrina sering dilihat tampil di stesen televisyen (TV) sama sehingga ada yang menyangkakan dia terikat dan eksklusif dengan stesen terbabit.

Merungkai persoalan tersebut, bintang yang turut aktif bergiat dalam bidang modeling itu berkata, semuanya berlaku secara kebetulan dan dia terbuka untuk bekerja dengan semua pihak.

“Saya masih baru dalam industri dan terbuka untuk bekerja dengan mana-mana stesen TV atau produksi yang memberi tawaran.

“Cuma mungkin kebetulan selama dua tahun ini saya banyak terlibat dengan projek daripada stesen sama kerana memang mereka yang sering memberi tawaran.

“Bagaimanapun dalam masa sama, saya sentiasa mencari peluang baharu menimba pengalaman, malah turut menghadiri beberapa sesi uji bakat untuk tujuan itu. Bukan saya memilih, cuma belum ada rezeki lain,” katanya.

Iklan
Qasrina ketika majlis sidang akhbar drama Legenda Puteri Qaseh baru-baru ini.

Mengakui tidak mudah menempatkan diri dalam industri, Qasrina akur namanya kurang menyerlah berbanding rakan-rakan seangkatan lain.

Percaya masanya akan tiba suatu hari nanti, pelakon itu menolak untuk sengaja mencipta sebarang kontroversi semata-mata bagi mendapat perhatian ramai.

“Itu adalah rezeki masing-masing. Pelakon lain dapat tawaran menarik dan berjaya naikkan nama, itu usaha dan rezeki mereka.

“Saya tidak mahu membandingkan diri dengan pelakon lain kerana masing-masing ada journey sendiri. Namun saya percaya, masa saya akan tiba nanti.

Iklan

“Saya juga tidak mahu terlibat dengan kontroversi semata-mata untuk naikkan nama. Biarlah bakat dan lakonan saya sahaja yang mengambil peranan itu,” tegasnya yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Rocketfuel Entertainment.

(FOTOl: AZRUL RAFIE – ASTRO)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.