FILEM terbitan Astro Shaw dan Skop Productions, Penunggang Agama berjaya meraih kutipan RM2 juta dalam tempoh dua minggu tayangan Di Pawagam Rumah Anda, Astro First.

Bukan sahaja mendapat sambutan dan respon positif dalam kalangan penonton tempatan, tetapi peminat di negara jiran, Singapura juga turut membanjiri ruangan komen di media sosial melahirkan rasa keterujaan untuk menonton filem itu.

Rentetan daripada kejayaan itu, pihak penerbit tidak teragak-agak untuk terus bergerak proaktif dengan membawa filem tersebut untuk ditayangkan di pawagam Singapura bermula 15 April ini.

Ini menjadikan Penunggang Agama adalah filem pertama menembusi pasaran pawagam di luar negara semenjak pandemik Covid-19.

Penunggang Agama akan ditayangkan di pawagam Cathay menerusi lapan lokasi seperti AMK Hub, The Cathay, Orchard Cinelesirure, Downtown East, West Mall, JEM, Causeway Point dan Parkway Parade.

Pengarahnya, Syafiq Yusof menyifatkan filem Penunggang Agama sebagai percubaan pertamanyadalam menghasilkan konten berelemenkan islamik.

“Alhamdulillah, kerja keras saya bersama kru dan barisan pelakon telah menerima respon positif daripada penonton.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penonton  yang  telah  melanggan  filem  ini  di  Astro  First.

“Saya  anggap kejayaan filem Penunggang Agama adalah sokongan yang diberikan daripada peminat dan penonton untuk saya terus perbaiki dan hasilkan karya yang mengikut citarasa penonton.

Tambah Syafiq, dia juga teruja apabila mendapat tahu filem arahannya itu bakal ditayangakan di Singapura.

“Saya juga teruja kerana naskhah yang saya hasilkan akan ditayangkan di pawagam Singapura.

”Setelah hampir setahun lebih pandemik Covid-19, banyak filem tidak dapat ditayangkan di layar besar.

”Saya harap selepas kehadiran filem ini di Singapura, ia akan dibawa pula ke pawagam tempatan dan sekali gus mampu menaikkan lagi keterujaan penonton kita untuk kembali menikmati pengalaman menonton di panggung wayang,” katanya.

Sementara itu Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Penunggang Agama berjaya berada di dalam top 10 filem yang meraih kutipan tertinggi di Astro First sepanjang masa pada hari ke-18 tayangan.

Iklan

“Saya mewakili pihak penerbit ingin mengucapkan terima kasih kepada penonton atas sokongan terhadap filem tersebut di platform Malaysia’s Largest Home Cinema, Astro First.

“Atas kejayaan luar biasa, pihak penerbit merasakan ini adalah masa yang tepat untuk membawa filem ini ke Singapura dan ditayangkan melalui lapan buah pawagam.

“Kami juga ada membuat perancangan untuk membawa karya ini di pawagam tanah air bagi memberi peluang penonton merasai senimatik yang berbeza. Insya-ALLAH, kami akan umumkan kelak.

“Saya berharap, Penunggang Agama akan menjadi pembuka ruang untuk filem- filem tempatan yang lain turut ditayangkan di Singapura selepas setahun lebih filem tempatan tidak dapat ditayangkan dipawagam Singapura,” ujarnya.

Iklan

Filem Penunggang Agama yang menemui penonton di Astro First, saluran 480 sejak 25 Mac lalu, menampilkan lakonan mantap oleh Zul Ariffin, Nasir Bilal Khan, Azira Shafinaz, adik Puteri Nurqaseh, Salina Saibi, Johan As’ari, Sabrina Ali dan Datuk Jalaludin Hassan.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (dua hari) secara berulang-ulang.

 

(FOTO: Astro Shaw)