Raihan ajak peminat imbau nostalgia di Konsert Garis Masa

A
A
A

SEKITAR tahun era 1990-an, kumpulan Raihan pernah mencetuskan fenomena dalam industri hiburan tanah air menerusi irama muzik nasyid yang tampil dengan pengaruh tersendiri.

Melewati perjalanan seni yang sudah berusia 25 tahun dalam industri itu, Raihan yang kini dianggotai oleh Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim

bakal tampil dengan sebuah konsert istimewa, Garis Masa Raihan.

Menurut Che Amran, konsert yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 26 November depan itu bakal mengimbau kembali nostalgia orang ramai yang pernah membesar dengan lagu-lagu popular mereka sebelum ini.

“Alhamdulillah setelah sekian lama menunggu, kami mendapat peluang untuk kembali tampil dengan sebuah konsert di tanah air, sekali gus mengubati rindu peminat.

“Beberapa tahun sebelum ini kami lebih banyak mengadakan persembahan di luar negara dan kalau tidak silap kali terakhir Raihan muncul di pentas berskala besar di tanah air sekitar 22 tahun lalu.

“Terima kasih kepada pihak penganjur yang memberikan peluang ini dan kami berharap agar peminat Raihan sedia ada boleh menggamit nostalgia lalu dan peminat baharu pula dapat mengenali gaya muzik Raihan,” ujarnya.

Raihan bakal menghiburkan peminat dengan lagu-lagu popular yang menggamit nostalgia.

Konsert selama tiga jam anjuran WNS Marketing & Events Sdn Bhd itu akan menyaksikan Raihan mempersembahkan seleksi lagu popular termasuk Puji-Pujian, Iman Mutiara, Sesungguhnya, Thank You Allah, 25 Rasul, Syukur, Bismillah dan Senyum.

Tambah Abu Bakar, persembahan pada malam tersebut cukup istimewa apabila bakal menampilkan gubahan muzik baharu, selain tampil dengan pelbagai intrumen muzik yang memberikan bunyi berbeza.

“Sebelum ini ramai peminat tanya bila Raihan akan buat konsert lagi dan akhirnya ia menjadi kenyataan pada November ini.

“Insya-ALLAH kami akan tampil dengan sebuah persembahan istimewa menerusi sentuhan dan gubahan muzik baharu, selain penggunaan beberapa instrumen yang tentunya akan memberikan bunyi yang lebih indah.

“Konsert itu nanti juga akan diiringi oleh barisan pemuzik-pemuzik hebat yang saya percaya bakal memberikan impak tersendiri kepada persembahan kami nanti,” katanya yang terharu mendapat sokongan padu daripada pihak penganjur dalam merealisasikan konsert tersebut.

Harga tiket konsert Garis Masa Raihan dijual dengan harga bermula RM99 sehingga RM454 dan boleh diperolehi menerusi www.ticket2u.com.my.

Luar negara

Selain konsert tersebut, kumpulan nasyid yang mula dikenali menerusi album debut Puji-Pujian itu juga akan kembali sibuk memenuhi pelbagai jemputan persembahan di luar negara.

Raihan sebelum ini kerap mengadakan persembahan di negara pelbagai benua seperti United Kingdom, Perancis, Kanada, Afrika, Rusia, Dubai, Hong Kong dan lain-lain.

“Ketika fasa pandemik yang lalu, kami hanya mengadakan persembahan secara online sahaja dan tidak dapat memenuhi jemputan untuk ke luar negara.

“Alhamdulillah selepas semuanya kembali reda, Raihan akan kembali meneruskan misi untuk membawa muzik nasyid ke seluruh dunia,” kata Che Amran.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca