TIGA anak muda berbakat besar tampil bersatu dengan menubuhkan kumpulan nasyid Zawfan dalam usaha mereka untuk kembali mengangkat lagu-lagu dakwah dalam industri muzik tanah air.

Pada awal 2020, kumpulan ini mengorak langkah pertama mereka menerusi media sosial dan bergerak dengan tanda pagar #RinduNasyid. Mereka merakamkan semula video-video nasyid nostalgia secara acapella atau iringan perkusi di laman Facebook rasmi Zawfan.

Dari situ, Zawfan berjaya menghimpunkan ramai peminat muzik nasyid, sekali gus mengajak mereka bernostalgia dengan lagu-lagu nasyid popular pada era kegemilangan muzik itu sekitar tahun 1990-an.

Pengasas Zawfan, Hafiz Tamizi yang juga merupakan vokalis utama kumpulan nasyid Mirwana mengakui komuniti perindu nasyid menginginkan irama nasyid yang ringkas dan sederhana.

“Kami membesar dengan mendengar lagu nasyid daripada Raihan, Nada Murni dan The Zikr. Irama nasyid klasik yang mereka bawakan itu sangat sederhana, tetapi berjaya dihayati masyarakat.

“Pada era itu, lagu-lagu dakwah dihasilkan menggunakan 100 peratus pergendangan kompang atau alat perkusi gendangan yang sangat indah bunyinya.

“Karya-karya yang dihasilkan ketika itu juga hanya tampil dengan melodi ringkas, tetapi mengetengahkan lirik yang jelas dengan nyanyian sederhana. Itu sudah cukup, malah mampu membawa mesej ketuhanan, kemanusiaan dan kerohanian dengan sangat mengesankan kepada masyarakat,” katanya.

Rasul Kita

Mengambil inspirasi tersebut, Zawfan mahu kembali menghasilkan karya nasyid dengan elemen sama agar mudah diterima ramai.

Menerusi single pertama mereka, Rasul Kita yang dilancarkan pada pertengahan 2021, kumpulan anak muda ini tampil dengan sebuah karya yang sarat mesej berkenaan para nabi dan rasul.

“Mesej lagu ini sangat tepat dengan keadaan semasa di mana masyarakat sedang dilambakkan dengan adiwira-adiwira cereka dari dunia fiksi.

“Namun bagi umat Islam, perlu ada peringatan bahawa adiwira-adiwira sebenar ialah para nabi dan rasul kita yang disebut nama-nama mereka di dalam kitab al-Quran.

Iklan

“Mereka hadir dalam kalangan manusia pada zaman dan waktu tertentu untuk memberi peringatan, menyelamatkan manusia daripada kegelapan dan kepalsuan.” tegas Zawfan.

Rasul Kita yang merupakan karya ciptaan Hafiz Tamizi sendiri itu merupakan sebuah lagu yang ditujukan kepada kanak-kanak dan diinspirasinya daripada lagu 25 Rasul, dendangan Raihan.

Iklan

Lagu terbitan Zawfan yang diedarkan secara digital oleh Inteam Records itu kini boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify dan Apple Music, manakala muzik video pula menerusi saluran YouTube rasmi Zawfan.

Tidak hanya itu, Rasul Kita juga sudah mula diputarkan di beberapa stesen radio seperti Ikim FM, Zayan dan lain-lain.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.