PELAKON Raja Afiq, 26, kini bergelar suami apabila selamat disatukan dengan pasangannya, Soffwany Yusoff, 31, dengan hanya sekali lafaz sekitar jam 9 pagi Sabtu.

Majlis ijabkabul yang berlangsung di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam itu menyaksikan pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Mohamad Yusoff Lebai dengan disaksikan 18 tetamu.

Pada majlis itu, Raja Afiq atau nama penuhnya Raja Muhammad Afiq Raja Razali menyerahkan mas kahwin sebanyak RM1101 disamping wang hantaran berjumlah RM15,000. Manakala dulang hantaran pula sebanyak lima berbalas tujuh.

Mengulas tentang perkenalan awal mereka, kata Raja Afiq, dia dan isteri yang juga merupakan seorang anggota polis dari Pasukan Gerakan Udara, berkenalan dalam tempoh singkat menerusi Instagram sebelum mula rapat dan mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Alhamdulillah biarpun perkenalan kami singkat, jodoh itu kuat mendekati kami. Kami berkenalan sejak hujung tahun lalu.  Rapat dalam awal tahun ini.

“Cuma selepas mengikat pertunangan sekitar awal Mac lalu, kami sepatutnya merancang pernikahan Ogos lalu.

Iklan

“Bagaimanapun banyak benda yang tergendala berikutan Perintah Kawalan Pergerakan dan akhirnya dianjak ke bulan ini.

“Semoga fasa baru kami ini akan terus membahagiakan. InsyaAllah,” katanya yang jatuh hati dengan sikap isteri yang memahami dan lemah lembut itu.

Iklan

Berkongsi tentang perancangan bulan madu, Raja Afiq dan isteri akan bercuti ke Langkawi dalam masa terdekat. Mengenai anak, mereka tidak merancang dan bersedia menerima rezeki Tuhan bila bila masa.

Pasangan ini bakal mengadakan majlis persandingan pada Januari depan.