PENYANYI, komposer dan penerbit yang sedang meningkat naik, Siqma mahu terus aktif menyampaikan mesej menerusi karya ciptaannya yang unik dan tersendiri.

Memiliki rentak dan gaya tulisan berkonsepkan ritma atas puisi, Siqma yang mula menceburkan diri dalam industri muzik pada tahun 2016 itu banyak berekperimentasi dengan karya dan muziknya sehingga mencuri perhatian peminat.

Pada April lalu, penyanyi yang kini bernaung di bawah label Universal Music Malaysia itu, tampil ke arena muzik arus perdana dengan melancarkan dua lagu ciptaannya yang berjudul Cemas dan Salam 1001 secara serentak.

Kedua-dua lagu tersebut mendapat maklum balas positif daripada pendengar, sekali gus memberikan semangat untuknya terus memberikan yang terbaik.

Tidak menunggu lama, Siqma kini kembali dengan single terbaharunya berjudul Raja Simurgh.

Menariknya, lagu ciptaan tersebut turut menampilkan rapper yang sedang mencipta nama, Kmy Kmo.

“Raja Simurgh merupakan karya ciptaan sendiri, manakala lirik pula ditulis bersama Kmy Kmo.

“Mengambil konsep ritma atas puisi yang mengekalkan ciri kemelayuan di dalam lagu Hip Hop, lagu ini mengambil inspirasi daripada melodi lagu rakyat Rasa Sayang yang digabungkan dengan rentak hip hop beserta senikata seperti puisi,” ujarnya.

Menurut Siqma, lagu tersebut diilhamkan daripada sebuah buku tulisan penyair sufi berbangsa Parsi dari abad ke-12, Faridu’Din Attar yang berjudul Mantiqu’t-Thair atau dalam bahasa Melayu membawa maksud Musyawarah Burung.

Buku itu berkisar tentang perhimpunan burung dari segenap pelusuk dunia yang berbahas dalam pencarian raja sejati mereka iaitu burung Simurgh.

Menjelaskan lebih lanjut tentang maksud lagu ciptaannya itu, Siqma berkata, lagu Raja Simurgh menceritakan situasi mengenai kepentingan hidup secara umum seperti tingkah laku, amalan moral, kesetiaan kepada agama serta banyak lagi.

Raja Simurgh adalah peringatan bagi kita untuk selalu bergantung pada diri kita sendiri kerana pada akhirnya, hanya kita sendiri yang tahu apa yang terbaik untuk diri kita.

Iklan

“Ianya bukan lagu ketuhanan tapi lebih kepada mesej positif untuk santapan rohani dan minda pendengar,” katanya lagi.

Sebagai pendatang baru, Siqma mengakui sangat percaya keikhlasan merupakan kunci utama untuk tampil sebagai pengkarya yang meyakinkan.

Siqma dalam masa yang sama mengharapkan agar single Raja Simurgh dapat membuka mata pendengar untuk mendalami setiap mesej yang disampaikan menerusi   liriknya.

Iklan

“Bukan hanya untuk pendengar muzik hip hop, tetapi lagu tersebut juga diharapkan dapat diterima oleh segenap lapisan masyarakat.

“Saya tidak mahu mensasarkan lagu ini kepada pengikut muzik hip hop sahaja, sebaliknya, mahu ia dapat dinikmati oleh semua pendengar dari pelbagai latar belakang.

“Saya percaya peminat muzik sudah cukup bijak menilai estetika sesebuah karya itu tanpa mengira genre yang ditampilkan,” jelasnya.

Single terbitan Universal Music Malaysia itu boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music.