MODEL dan pelakon sedang meningkat naik, Ikmal Amry mengakui jumlah pengikut di laman Intagramnya semakin berkurangan semenjak dia berkongsi berita tentang pertunangannya pada Mei lalu.

Menurut Ikmal atau nama lengkapnya Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 26, sejak berita tersebut diketahui umum, ramai peminatnya yang kebanyakkan wanita meluahkan rasa kurang senang dan kecewa terhadapnya.

“Ada peminat yang OK dan gembira bila saya umumkan sudah bertunang, tetapi ramai juga yang patah hati dan kecewa sehingga menangis.

“Disebabkan itu, ada yang dah menyekat dan tidak lagi mengikuti saya di Instagram, malah beralih kepada artis lain.

“Terkejut juga bila mereka terlalu obses sampai macam tu, seolah-olah saya tak boleh ada kehidupan sendiri dan kahwin dengan sesiapa,” luah Ikmal ketika ditemui di majlis memperkenalkan barisan artis Absolut Talents & Management baru-baru ini.

Bagaimanapun, bintang drama Bila Cupid jatuh Cinta itu tidak mahu mengambil serius tentang perkara tersebut, sebaliknya fokus kepada perancangannya untuk mendirikan rumah tangga bersama tunang, Najla Shamsul pada 19 Disember depan.

“Saya sentiasa percaya rezeki itu ALLAH yang tentukan tidak kisah tentang populariti selepas kahwin.

Iklan

“Sejujurnya saya lihat selepas saya bertunang dan nak kahwin, rezeki saya semakin murah di mana banyak tawaran lakonan yang datang termasuk tawaran membintangi dua buah filem tidak lama lagi.

“Bila nak buat benda baik, lagi banyak rezeki masuk. Saya juga percaya selepas kahwin nanti mesti rezeki lagi murah,” katanya.

Iklan

 

(FOTO: Instagram Ikmal Amry)