KEHADIRAN penyanyi latar dalam sesebuah persembahan jarang diberikan perhatian, malah kewujudan mereka juga kadang-kala tidak disedari ramai.

Sedangkan mereka sebenarnya mempunyai peranan cukup besar dalam mencantikkan dan melancarkan sesebuah persembahan melibatakan penyanyi utama.

Penyanyi latar profesional, Izzad Izzuddin Borhan atau nama pentasnya, Jad Lobo, mengakui tidak mudah memikul tanggunggjawab itu, namun lega apabila semakin ramai penggiat muzik hari ini mula menghargai dan melihat kepentingan mereka.

Lebih dua dekad bergelar penyanyi latar, Jad pernah mengiringi sebahagian besar penyanyi popular tanah air dan terlibat dalam puluhan konsert berskala besar, selain terlibat dengan siri program TV dan rakaman di studio rakaman.

SINARPLUS: Apakah peranan utama seorang penyanyi latar?
JAD LOBO:
Penyanyi latar selalunya memainkan peranan untuk mewarnai atau mencantikkan lontaran melodi dalam sesebuah persembahan ataupun rakaman lagu.

Boleh dikatakan penyanyi latar juga seperti instrument yang mana ia berperanan untuk memberikan kelainan atau bunyi berbeza kepada sususan muzik asal lagu terbabit terutamanya pada nyanyian harmoni yang mengiringi penyanyi utama.

Kelainan itu penting terutamanya apabila melibatkan persembahan berskala besar seperti konsert, majlis anugerah dan sebagainya untuk menampakkan ia kedengaran lebih besar dan berkarakter.

Ciri-ciri utama yang perlu ada pada seseorang penyanyi latar?
Ada bakat dan tahu peranan yang perlu dimainkan oleh penyanyi latar. Mereka kena faham sempadan dan tidak boleh melebihi penyanyi utama.

Penyanyi latar juga perlu ada karakter yang pelbagai dalam setiap lagu, selain mempunyai tone suara berbeza mengikut genre. Ada yang perlukan suara besar, halus dan sebagainya bergantung kepada keperluan lagu. Jadi bakat dan pengalaman sangat penting di sini.

Lagu Irama Malaysia misalnya mempunyai cara yang berbeza berbanding lagu-lagu lain kerana ia mempunyai pelbagai karakter termasuk elemen sahut-menyahut antara penyanyi latar dan penyanyi utama yang digunakan untuk memeriahkan sesebuah lagu sebagaimana yang sering dilihat pada karya-karya Allahyarham Pak Ngah Suhaimi.

Persembahan bagaimanakah yang memerlukan penglibatan penyanyi latar?
Bagi saya, semua persembahan sepatutnya perlu menggunakan penyanyi latar.
Jika tidak, sesebuah persembahan itu akan jadi sama sahaja seperti mana rakaman asal di studio dan tiada yang istimewa.

Bentuk persembahan bersama penyanyi latar bergantung kepada konsep persembahan tersebut, sama ada ia sebuah konsert, pertandingan atau program TV.

Bagaimana penyanyi latar mampu membantu seseorang penyanyi dalam sebuah persembahan?
Banyak cara sebenarnya. Antaranya dengan menyanyikan bahagian atau melodi yang sama dengan penyanyi utama agar nyanyian kedengaran lebih lancar.

Ada juga penyanyi yang memerlukan penyanyi latar untuk bantu agar dia lebih yakin untuk menyampaikan bahagian tertentu dalam nyanyian dengan lebih tepat.

Iklan

Selain itu apabila penyanyi utama melakukan adlib atau penambahan pada melodi, penyanyi latar akan membantu dengan cara mengekalkan melodi asal di mana di situ kita feel kepada penyanyi utama.

Cabaran utama bergelar penyanyi latar?
Orang mungkin nampak tugas penyanyi latar ini macam mudah sahaja, sekadar mengiringi nyanyian penyanyi utama. Sebenarnya kalau anda melihat bagaimana kerja kami di belakang tabir, barulah anda faham tentang cabaran yang dilalui.

Untuk sesebuah persembahan, penyanyi latar sebenarnya kena buat kerja lebih daripada penyanyi utama. Dari segi persiapan misalnya, kami bermula lebih awal di mana ada perbincangan bersama pengarah muzik, tulis score muzik, hafal lagu, praktis bersama band dan sebagainya sebelum buat latihan dengan penyanyi utama.

Banyak peringkat peringkat kena lalui, tapi orang tak nampak. Semua penyanyi latar boleh menjadi penyanyi utama, tapi tidak sebaliknya. Untuk menjadi penyanyi latar seseorang itu perlu ada attitude yang berlainan dan karakter nyanyian sentiasa berubah-ubah mengikut genre lagu dan ia bukan senang dilakukan jika tiada pengalaman yang cukup. Sebab itulah tidak ramai penyanyi latar sepenuh masa di Malaysia.

Bagaimana anda melihat tahap kesedaran kepada keperluan penyanyi latar?
Berbanding dulu, saya lihat perkembangannya sekarang lebih positif. Ramai yang dah mula sedar akan keperluan dan kepentingan penyanyi latar dalam sesebuah persembahan.

Iklan

Tidak hanya untuk konsert, tetapi persembahan biasa juga ramai yang sudah gunakan khidmat penyanyi latar.

Saya juga banyak membuat perkongsian di media sosial tentang skop dan ruang lingkup kerja sebagai penyanyi latar, selain berkongsi pengalaman dalam bidang ini.

Saya fikir pendedahan itu perlu untuk memberi kefahaman, selain kesedaran kepada pentingnya peranan kami dalam sesebuah persembahan.

 

(FOTO: Instagram Jad Lobo)