PENULARAN virus pandemik, Covid-19 gelombang ketiga di Malaysia telah menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat.

Kerajaan juga telah mengambil langkah untuk kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 27 Oktober depan.

Bukan itu sahaja, penjawat awam dan pekerja swasta di peringkat pengurusan dan pengawasan diminta untuk bekerja dari rumah bermula hari ini dan sesiapa dari zon merah yang perlu hadir ke pejabat perlu membuat ujian saringan Covid-19 (swab test).

Tidak hanya pekerja biasa, pelakon dan pengacara berbakat besar, Uyaina Arshad turut mengambil inisiatif membuat ujian saringan baru-baru ini.

Menerusi perkongsian menerusi akaun Instagram miliknya, Uyaina turut mengakui ‘terseksa’ semasa membuat ujian terbabit.

“Orang lain buat swab test ni relax je. Tak sakit pun. Tapi, Yana (Uyaina) rasa sakit. Doktor jolok hidung je, tapi rasa sampai ke otak. Padahal doktor buat dah sehabis lembut dah,” ujarnya berserta video ketika membuat swab test.

Dalam pada itu, Uyaina turut mendoakan agar semua orang dijauhi dari wabak tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada frontliner yang kembali bertungkus lumus di lapangan.

“Semoga ALLAH SWT permudahkan urusan kita semua dan dijauhkan dari wabak Covid-19 aamiinnn.

“Dan terima kasih kepada frontliner kita, hero kita,” tulisnya.

https://www.instagram.com/tv/CGoylbYDD6i/?utm_source=ig_web_copy_link