SELEPAS lebih dua tahun mengusahakan perniagaan jus kesihatan Mutyara, pelakon Tya Ariffin kini mampu berbangga apabila usaha kerasnya itu membuahkan hasil apabila jenama tersebut semakin mendapat perhatian ramai.

Terbaru, perniagaan yang diusahakan bersama suami, Asyraf Khalid sejak tahun 2018 itu, mencipta satu lagi kejayaan apabila berjaya memiliki wisma sendiri yang terletak di Puchong.

“Alhamdulillah berkat usaha keras saya dan suami, kami berjaya membawa perniagaan jus Mutyara ini ke tahap ini.

“Kami usaha sama-sama dan dedikasi kejayaan ini untuk keluarga yang banyak menyokong selama ini.

“Kami buat semua ini bukan bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi sejak dari awal memang sudah dipasangkan niat untuk membantu keluarga dan orang ramai di luar sana.

“Jadi mungkin disebabkan itu, ALLAH permudahkan perjalanan kami,” ujar Tya.

Bagaimana pun Tya atau atau nama lengkapnya Nurtria Wulandari Arifin, 26, meluahkan rasa sedih kerana kedua ibunya bapanya yang menetap di Palembang, Indonesia tidak dapat hadir ke majlis penuh makna buat dirinya itu.

“Kali terakhir kami bertemu di Tanah Suci ketika sama-sama mengerjakan umrah pada Februari lalu dan selepas itu kami hanya berhubung menerusi panggilan video dan aplikasi whats app sahaja.

“Jadi saya memang rindu sangat, apatah lagi pada waktu perasmian wisma ini di mana saya nak sangat mereka ada bersama.

“Memang sedih sangat tapi kita terpaksa akur dengan situasi pandemik sekarang,” akuinya yang gagal menahan sebak dan menitiskan air mata.

Iklan

Mengakui turut bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 yang sangat tinggi di Indonesia sekarang, Tya tidak menafikan sentiasa risau dengan keadaan keluarganya di sana.

“Melihat kepada keadaan di Indonesia sekarang, memang saya risau sangat dengan keadaan keluarga di sana, tapi alhamdulillah mereka tidak berada di kawasan merah atau kes yang tinggi.

“Bagaimanapun saya sentiasa mengingatkan mereka agar selalu berjaga-jaga, patuhi SOP yang ditetapkan dan sentiasa kemas kini perkembangan masing-masing.

Iklan

“Apa yang boleh saya lakukan hanya menitipkan doa agar keluarga sentiasa dilindungi dan tidak terkena jangkitan Covid-19. Saya serahkan pada ALLAH untuk jaga mereka,” ujar Tya.

 

(FOTO: Mutyara)