Ratu Balqis belum mengalah, bangkit dengan Buaya

A
A
A

MULA menceburkan diri dalam bidang nyanyian sejak berusia enam tahun lagi, penyanyi Ratu Balqis tidak pernah berhenti mencari tapak untuk berdiri dalam persada seni.

Pemilik nama sebenar Nor Balqis Ahmad Tajudin atau lebih mesra disapa sebagai Balqis, 21, itu pernah menjuarai Bintang Kecil RTM 2010 peringkat zon Pantai Timur dan menduduki tempat ketiga program Idola Kecil musim ketiga pada usia 11 tahun.

Percaya di atas bakatnya sendiri, Balqis tidak putus-putus menyertai pertandingan nyanyian di seluruh Malaysia.

Pada usia remajanya, Balqis berjaya menempatkan diri sebagai finalis Idola Kecil Ultra pada tahun 2014 dan kemudiannya menjadi protege penyanyi Hazama dalam program Mentor Milenia 2017 sehingga ke peringkat separuh akhir.

RATU BALQISBalqis sudah 15 tahun mencuba nasib mengetengahkan bakat dalam pelbagai program realiti.

Setelah hampir 15 tahun mencari peluang mengetengahkan bakatnya, kini Balqis bakal muncul dengan single debutnya berjudul Buaya, yang turut menampilkan penyanyi rap wanita, Mimifly.

Mengulas tentang pemilihan Mimifly sebagai rakan kolaboratifnya, Balqis berkata, ia adalah sebagai tanda penghargaan kepada Mimi yang bukan sahaja merupakan idolanya tetapi bekas anggota One Nation Emcee itu juga adalah gurunya selain Hazama, Genervie Kam dan Afif Tirmizie.

“Sebelum ini, saya banyak menerima tunjuk ajar daripada Mimi ketika program Mentor Milenia 2017 berlangsung.

“Sebagai guru aksi panggung, Mimi banyak mengajar saya tentang stage present dan cara memberikan persembahan lebih efektif di pentas.

“Atas sebab itu, saya mengajak beliau terlibat sama dengan lagu Buaya,” katanya.

BALQIS-MIMIFLYBalqis menyifatkan Mimifly sebagai salah seorang gurunya dalam industri seni.

Berkongsi mengenai lagu Buaya, Balqis berkata, gubahan dan demo lagu tersebut sudah siap pada Mac lalu, namun proses rakaman tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Bulan Ogos baru dapat masuk studio untuk mulakan rakaman dan siap sepenuhnya pada bulan September.

“Walaupun ada banyak aral melintang, saya bersyukur kerana lagu ini akhirnya siap dan akan dilancarkan tidak lama lagi,” ujarnya yang bernaung di bawah pengurusan Adopt Entertainment.

Buaya merupakan ciptaan komposer Iqie Hugh dan Shaqiel Naufal. Liriknya pula merupakan hasil nukilan bersama Iqie Hugh, Shaqiel Naufal, Balqis dan Mimifly.

Lagu ini mengisahkan tentang kekuatan seorang wanita yang hidup dikelilingi lelaki yang hanya ingin mengambil kesempatan terhadap kaum hawa.

Ia cuba mengetengahkan karakter wanita yang kuat, berdikari, berkerjaya dan berkarisma dalam mengharungi perjalanan hidup selepas dicurangi dan ditinggalkan.

“Saya ingin hadiahkan single pertama ini untuk semua terutama keluarga, rakan-rakan dan peminat saya yang tidak putus-putus memberikan semangat agar saya bangkit dan terus berjuang dalam industri muzik Malaysia.

“Saya berharap single Buaya ini mendapat sambutan dan diterima ramai,” jelas Balqis lagi dalam menyatakan kesyukuran dan harapannya terhadap karya sulungnya berkenaan.

Lagu terbitan Adopt Entertainment dan edaran Universal Music Malaysia ini boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, Joox, iTunes, KKBox dan juga Deezer bermula 9 Oktober 2020.

[embed]https://youtu.be/n-UU1HcaM6g[/embed]

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca