AIDILFITRI adalah momen yang sentiasa dinantikan pelakon Reen Rahim dan keluarga yang meraikan hari mulia itu dengan penuh kesyukuran.

Setiap kali menjelang Syawal, pemilik nama sebenar Noreen Ashikin Abdul Rahim ini akan sibuk membuat pelbagai persiapan terutamanya menyediakan kelengkapan raya keluarga.

“Kalau untuk diri sendiri, saya suka serba ringkas sahaja. Namun untuk ibu, ayah dan anak-anak saudara, memang akan beria sedikit kerana seronok tengok mereka gembira.

“Keluarga saya pula jenis yang memang meriah dan sentiasa bersungguh-sungguh menghargai antara sesama kami. Jadi seronoklah tengok.

“Ketika PKP dua tahun lalu juga, kami sekeluarga tetap beraya dengan meriah walaupun tidak dapat keluar rumah untuk menziarahi orang lain. Apa yang penting, kami dapat buat aktiviti raya di rumah bersama-sama,” katanya.

Bagaimanapun selepas sambutan raya dapat diraikan seperti biasa pada tahun ini, anak ketiga daripada empat beradik itu mengakui seronok dapat kembali mengunjungi saudara-mara yang jauh dan dekat.

“Sejak dulu lagi keluarga saya memang suka berkumpul ramai-ramai dan saling menziarah sepanjang sambutan Aidilfitri.

“Setelah dua tahun ‘berehat’, saya sebagai anak perempuan kembali sibuk di dapur membantu ibu menyediakan pelbagai juadah kerana tahun ini rumah kami meriah menerima kunjungan tetamu datang beraya.

Iklan

“Dalam masa sama kami juga akan keluar beraya mengunjungi rakan taulan dan saudara mara yang dah lama tak dapat jumpa. Bukan hanya di Klang, tetapi juga kami akan memanjangkan langkah ke Melaka, Perak dan mungkin serata Malaysia. Raya kan sebulan,” katanya.

Dalam pada itu, Reen yang tampil dalam sitkom raya Apartment Putra setiap Sabtu dan Ahad di TV1 mengakui tumpang gembira apabila mendengar khabar ramai rakan artis yang menyambut raya terakhir dengan status solo pada tahun ini.

Iklan

“Buat masa ini saya masih selesa dan gembira menyambut Aidilfitri dengan status solo. Belum terfikir lagi nak raya ‘berdua’, tapi kalau jodoh sudah sampai lain ceritalah.

“Apa-apa pun kita doakan yang terbaik buat semua. Raya solo atau ‘berdua’ sama sahaja asalkan kita semua gembira,” katanya.