Rehat dua bulan, Mira Filzah bakal berpindah ke rumah baharu
SELEPAS bergelar isteri dan mempunyai tanggungjawab baharu dalam rumah tangga, pelakon Mira Filzah mengakui kini dalam fasa menyesuaikan diri.
Malah kata Mira dalam tempoh dua bulan ini dia banyak meluangkan masa bersama suami, selain dalam proses berpindah ke rumah baharu.
“Saya meminta pengurus untuk tidak mengambil tawaran lakonan dalam tempoh sekitar dua bulan ini.
“Insya-ALLAH hujung tahun ini, saya akan kembali berlakon untuk drama yang akan disiarkan di Astro Ria.
“Buat masa ini, saya hanya lunaskan kerja penggambaran untuk hos Nona sahaja kerana ia tak ambil masa panjang,” katanya.
Biarpun begitu, Mira atau nama lengkapnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 27, sempat meluangkan masa menyuntik semangat kepada pelajar dan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pagi Sabtu lalu.
Duta dan ikon pusat peningkatan akademi yang memberi fokus membantu pelajar SPM, PTTI itu mencuri tumpuan ramai apabila muncul selama 20 minit dalam talian seminar Last Ultra 100%.
Mengakui pandemik Covid 19 sedikit sebanyak memberi kesan pada semangat pelajar untuk terus fokus pada pembelajaran, pelakon Bidadari Kiriman Tuhan itu mengambil kesempatan tersebut untuk memberi kata-kata semangat terutamanya kepada calon peperiksaan SPM yang bakal berlangsung pada 6 Januari depan.
“Kalau stres belajar, jangan paksa diri. Nak belajar dan buat ulang kaji ini kena tenang. Kalau serabut tak ada guna juga. Nak serap ilmu kena dalam keadaan selesa.
“Cuba buat perkara yang boleh hilangkan stres atau saat otak tepu. Seimbangkan dengan perkara lain.
“Saya ada baca komen pelajar yang ikuti seminar dianjurkan siap tulis kalau stres, dia akan tengok drama Korea. Tapi saya balas balik jangan, nanti dah tengok sampai berjangkit- jangkit banyak episod pula,” kata Mira.
Dalam pada itu, Mira juga berharap agar pelajar dan calon SPM dapat mengelak daripada terus ketagih dengan dunia digital termasuk menggunakan telefon bimbit.
“Belajar untuk jarakkan diri dengan dunia digital. Memang sekarang kita sudah terbiasa memegang telefon bimbit melayari itu ini dan menggunakan pelbagai aplikasi selama berjam-jam.
“Ambil masa untuk menikmati udara di luar contohnya bersenam dan berjoging. Pada masa sama jaga penjarakan fizikal. Atau paling mudah buat apa saja benda yang kita gemar,” nasihat Mira.
Mira yang sebelum ini pernah bergelar pelajar cemerlang ketika SPM pada tahun 2010 juga percaya kejayaan dalam pendidikan dan ilmu yang ditimba itu bersifat positif.
“Ilmu dan pendidikan ini sangat luas skop pemahamannya. Pendidikan bukan diukur dengan tahap kelulusan kita perolehi.
“Sebaliknya ia satu proses berterusan tanpa mengira peringkat umur. Setiap hari menjadi proses belajar benda baharu.
“Pendidikan dapat membantu dan membentuk kita jadi manusia baik,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai peranannya sebagai ikon dan duta PTTI, kata Mira, ia untuk menggalakkan anak muda menyertai seminar pengajian.
“Dengan kelompok pengikut saya di media sosial yang kebanyakan juga di kalangan budak sekolah, ia jadi lesen baik untuk mengajak mereka belajar secara dalam talian.
“Tahun ini pelajar sekolah termasuk calon SPM bergelut sedikit kerana Covid 19. Jangan kecewa dan lemah semangat. Ada hikmah tersendiri kerana masa untuk ulang kaji lebih banyak,” katanya.
(FOTO: Instagram Mira Filzah)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang