PELAWAK dan pelakon, Ropie membuktikan dia masih kekal relevan pada usia 54 tahun, biarpun dikelilingi bakat baharu yang hadir bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Tidak hanya dihujani tawaran lakonan, Ropie atau nama sebenarnya Zahid Tajuddin masih dipilih menjadi duta produk.

Terbaru, bintang cukup sinonim dengan watak Pak Kodi dalam sitkom JKK itu dipilih menjadi duta produk kerepek keluaran Misabitez.

Bagaimanapun, tidak seperti kelaziman selebriti terkenal lain yang cenderung menjadi duta produk sudah dikenali, Ropie mempunyai pandangan sebaliknya.

“Saya lebih suka membantu mereka yang baru hendak naik. Kalau yang ada nama, selalunya mereka sudah ada pengikut sendiri.

“Bukan itu sahaja, saya juga melihat pada kualiti produk dan kepuasaan kepada pengguna walaupun ia hanya kerepek,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Dalam masa sama, Ropie berkata, dia tidak menyangka masih ada yang melihat dia mempunyai aura duta dan berterima kasih kepada duo pemilik Misabitez, Muhamad Faiz dan Khairul Amin yang memberi peluang kepadanya.

Ropie tak kisah digelar Ropie Kerepek.

Ropie juga menolak dakwaan kononnya dia menerima bayaran tinggi sebagai duta.

Menurutnya, andai kata dia dibayar tinggi maka itu bukan satu kesalahan tetapi rezeki.

“Antara sebab lain yang membuatkan saya tertarik menerima tawaran mereka adalah melihat cara mereka berniaga.

“Niat mereka mahu membantu orang dalam kesusahan dengan cara membuka peluang perniagaan.

“Apatah lagi sekarang, ramai yang diberhentikan kerja dan pelbagai lagi masalah berkaitan kewangan,” jelasnya.

Selepas bergelar duta kerepek, Ropie berkata, dia tidak kisah jika ada yang menggelarkannya sebagai Ropie Kerepek.

“Sebagai artis, saya menerima banyak tawaran untuk reviu makanan. Tetapi saya jenis yang kena rasa dahulu. Kalau sedap saya bagitahu. Kalau tidak, saya akan beri pendapat. Saya jujur orangnya.

Iklan

“Lepas ini kalau ada yang gelar Ropie Kerepek pun saya okey. Baguslah itu tandanya peminat suka dan secara tidak langsung, ada peluang kontrak disambung untuk 10 tahun!” selorohnya.

Bintangi filem Tamil

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Ropie berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran Pak Kodi 5G musim kedua.

Tidak hanya menjadi perhatian peminat dan penerbit Melayu, Ropie akan mencuba pasaran filem Tamil selepas ini.

Selain itu, dia juga akan membintangi sebuah filem Tamil, Sawadikap dan akan membawa lima watak berbeza.

Iklan

“Difahamkan saya akan membawa lima watak dan lebih kepada pembawaan karakter.

“Mungkin saya perlu berbahasa Tamil sedikit, tapi saya tak pasti lagi macam mana sebab belum sempat baca skrip.

“Apa yang membuatkan saya tertarik membintangi filem Tamil ini adalah kerana jalan cerita yang kelakar dan pada masa sama, saya tak sangka menjadi perhatian penerbit bukan Melayu.

“Bukan itu sahaja, saya juga akan terlibat dengan sebuah telefilem, Misteri Wak Leman dan penggambaran sitkom  JKK musim tujuh selepas ini,” ujarnya.