BIARPUN tidak dapat pulang beraya di Pulau Pinang, Ruhainies tetap menyambut Aidilfitri dengan penuh kemeriahan bersama keluarga tercinta di Kuala Lumpur.

Momen berkumpul bersama adik-beradik semestinya menjadi aktiviti yang paling istimewa buat pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas ini setiap kali lebaran.

“Setiap tahun raya saya dan keluarga sentiasa meriah kerana kami seronok berkumpul bersama-sama. Walaupun tahun ini di Kuala Lumpur sahaja, tetapi kemeriahannya sama seperti yang dirasai ketika beraya di Pulau Pinang.

“Ini kerana kami sekeluarga tetap dapat berkumpul dan beraya beramai-ramai. Ditambah pula dengan kehadiran satu-satunya anak saudara yang kini menjadi penyeri kami sekeluarga.

“Sejak Ramadan lagi, masing-masing sudah teruja beli baju raya dan tak sabar sediakan duit raya untuk anak saudara. Inilah keterujaan raya kami kali ini,” ujarnya.

Dalam pada sibuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga, Ruhainies tidak pernah melupakan para peminatnya.

Hargai Peminat

Malah bintang berusia 31 tahun itu merancang untuk mengadakan rumah terbuka untuk meluangkan masa dan mengeratkan silaturrahim bersama mereka yang sentiasa menyokong perjalanan kerjaya seninya.

“Insya-ALLAH jika semua perancangan berjalan lancar saya akan mengadakan rumah terbuka yang bakal dihadiri lebih 100 orang peminat.

“Aktiviti bersama peminat bukanlah perkara asing buat saya, malah menjadi rutin setiap kali bulan Ramadan dan Syawal.

“Bukan sahaja untuk menghargai mereka, tetapi saya sendiri memang suka berkumpul dan berkongsi kegembiraan bersama-sama,” katanya yang bakal kembali sibuk di lokasi penggambaran drama terbaharu lakonannya selepas seminggu raya.

Iklan
Ruhainies teruja raya bersama peminat.

Ditanya tidakkah ada kegusaran di hatinya untuk mengadakan acara terbuka sebegitu selepas kejadian yang menimpa pelakon Kamal Adli yang dipukul tanpa sebab di Singapura baru-baru ini, Ruhainies ada alasannya sendiri.

“Tidak dapat dinafikan memang ada sedikit kebimbangan, tetapi saya akan lebih berhati-hati dan sentiasa waspada dengan orang keliling.

“Lagipun peminat-peminat yang diundang ke majlis tersebut terdiri daripada muka-muka sama dan sudah lama bersama dengan saya selama ini.

Iklan

“Insya-ALLAH kita bersangka baik dan doakan semuanya berlangsung dalam keadaan baik-baik juga,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi