SETELAH memilih untuk berdiam diri mengenai dakwaan rumah tangganya bergolak, pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof mengakui dia dan isteri, Puteri Sarah Liyana kini dalam proses memperbaiki hubungan.

Jelas Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof, 36, mereka juga mengambil inisiatif dengan meminta nasihat daripada individu yang lebih pakar.

Malah dia juga berharap orang luar mendoakan yang baik-baik sahaja untuk rumah tangga mereka yang kini sedang diuji.

“Doakan yang terbaik buat kami. Memang sebelum ini Sarah ada pergi ke pejabat agama tapi bukan atas sebab kami mahu bercerai.

“Cuma tiada jalan lain, kami perlu mengambil nasihat dan kaunseling daripada mereka yang pakar.

“Kami masih dalam proses memperbaiki hubungan. Saya tidak boleh cakap lebih soal rumah tangga tapi apa yang boleh saya cakap, Sarah memang seorang isteri yang baik dan cukup memahami saya,” katanya seperti dilaporkan Kopiplanet.com.

Syamsul berkata demikian sebaik ditemui selepas selesai membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, Kuala Lumpur terhadap satu akaun Instagram yang telah memberikan ancaman dan ugutan keselamatan terhadap dirinya dan keluarga, baru-baru ini.

Sementara itu, pengarah filem blokbuster Munafik itu tidak menolak punca permasalahan rumah tangga disebabkan kesibukannya kerjanya sebagai seorang pelakon, pengarah dan penyanyi.

Iklan

“Mungkin sebab saya terlalu obses dengan kerja saya. Jadi seperti penyakit.. saya jadi gila dengan kerja saya. Sepatutnya bila kerja dah siap, relaxlah.

“Nak kata duit… Alhamdulillah, rezeki ada. Cuma saya kalau buat satu-satu kerja memang akan berikan sepenuh fokus,” jelasnya.

Hubungan pasangan ini dikatakan dilanda badai selepas Sarah dilihat hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak pada 18 September lalu. Kehadiran Sarah ke sana turut ditemani ibu mertuanya, Datin Fatimah Ismail.

Iklan
SYAMSUL-SARAH
Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Syaikhul Islam, 3, dan Sumayyah, setahun.

Sumber : Kopiplanet.com