GARA-GARA hadir bersendirian ke pelancaran filem Hantu Kuat Ketawa tanpa ditemani isteri baru-baru ini, rumah tangga penyanyi dan penyampai radio Zayan, Mawi dikatakan sedang bermasalah.

Malah isteri Mawi, Ekin Rahmat, 43, menerusi satu perkongsian di laman Instagramnya mengakui dihujani pertanyaan berkenaan rumah tangganya secara tiba-tiba sejak minggu lalu.

“Bagi sahabat-sahabat yang ramai bertanya kenapa ‘Ekin awak OK ke tak?’, terima kasih banyak-banyak.

“Apa yang buat saya stress dan mental breakdown bila ramai yang DM (direct message) dan tanya kenapa tak nampak Ekin kat Majlis Perlancaran Hantu Kuat Ketawa hari tu.

“Ada masalah rumah tangga ke? Dah tak sefahaman dengan Mawi ke? Gaduh ke? Cerai ke? Allahuakbar,” luahnya.

Menurut Ekin, situasi itu membuatkan dirinya tertekan, apatah lagi dia dan keluarga ketika itu sedang menjalani kuarantin di Johor Bahru selepas dijangkiti Covid-19.

“Sebenarnya nak dijadikan cerita beberapa hari kami diuji dengan anak-anak semua positif Covid-19 kat Johor Bahru dan semua terpaksa kuarantin di sini.

“Mental breakdown sangat-sangat dan stress jaga anak-anak kecik yang meragam dan menangis sakit kena Covid-19 ni. Allah saja yang tahu. Macam mana pun majlis kena diteruskan.

Iklan

“Lepas itu, apabila bila ada pula kata-kata fitnah cakap macam-macam tanpa siasat. Benda macam ini boleh buatkan kita lagi down. Jadi pada yang cakap macam-macam tu, tolonglah berhenti,” katanya.

Dalam kemas kini terbaharu, Ekin memaklumkan dia dan keluarga telah selesai menjalani kuarantin dan mengucapkan terima kasih kepada barisan petugas hadapan dan semua pihak yang membantu mereka dalam tempoh tersebut.

Iklan

Ekin dan Mawi mendirikan rumah tangga pada Disember 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Cahaya Malaika yang kini berusia 10 tahun.

(FOTO: Instagram Ekin)