SEMENJAK awal pembabitannya dalam bidang lakonan lebih sedekad lalu, pelakon berbakat hebat, Ruzana Ibrahim sentiasa mendambakan kepelbagaian watak untuk membuktikan kemampuan lakonannya.

Bagaimanapun, anak kelahiran Kuala Lumpur yang turut aktif  dalam lakonan pentas itu, akur apabila dirinya begitu sinonim dengan watak antagonis yang mendominasi profil lakonannya.

Bagaimanapun, penglibatannya dalam drama psiko thriller, Misteri Mona yang kini sedang disiarkan di Slot Samarinda, TV3, bermula 10 Disember lalu, memberi cabaran berbeza buatnya.

“Saya sudah lama menantikan peluang membawakan watak berbeza dalam lakonan, terutamanya watak psiko seperti karakter saya dalam Misteri Mona.

“Semestinya ia bukan satu tugas mudah, tetapi saya mengambil cabaran ini kerana mahu memberikan kelainan dalam lakonan.

“Jika sebelum ini, penonton sering melihat saya dengan watak antagonis, kali ini mereka dapat lihat saya dengan sisi lain,“ katanya.

Berkongsi pengalamannya menjayakan watak Mona, Ruzana berkata, sepanjang menjalani penggambaran drama tersebut, dia berdepan pelbagai cabaran untuk menghidupkan karakter itu.

“Naskhah ini sangat berat, tetapi cukup menarik dari segi pengisian dan cabaran dilalui setiap karakter terlibat.

“Sebagai Mona, saya banyak bermain dengan dalaman melibatkan emosi yang sentiasa berubah-ubah mengikut situasi.

“Bukan sahaja penat fizikal, tetapi mental dan emosi kerana karakter dibawakan itu sangat mencabar dan banyak menguji kemampuan lakonan.

“Saya juga bertuah kerana dapat bekerja di bawah arahan Amor Rizan yang sentiasa jelas dengan apa yang dimahukan dalam naskhah garapannya, selain banyak membantu saya menghidupkan watak,“ ujarnya teruja.

RUZANA bakal tampil sebagai hos dalam program Kaki Gunung yang menyaksikan dirinya berjaya mendaki 15 buah puncak gunung.

Gemar aktiviti lasak 

Tidak hanya itu, selebriti tinggi lampai yang gemarkan aktiviti lasak ini juga baru sahaja selesai menjalani penggambaran program 13 episod, Kaki Gunung yang bakal disiarkan di RTM akan datang.

Menerusi program tersebut, Ruzana selaku hos, bersama kru program terbabit berpeluang mendaki 15 puncak gunung di seluruh semenanjung tanah air termasuk Gunung Jerai, Gunung Ledang, Gunung Nuang, Gunung Angsi dan banyak lagi dalam tempoh sebulan lebih bermula Oktober lalu.

“Pengalaman berharga yang boleh juga saya anggap sebagai pencapaian peribadi kerana berjaya sampai ke 15 puncak gunung dan ia tidak pernah terfikirkan sebelum ini.

Iklan

“Kami memang betul-betul mendaki sehingga ke puncak dan berdepan pelbagai cabaran sepanjang pendakian, termasuk jatuh dan tercedera dalam usaha memberikan yang terbaik buat penonton.

“Bayangkan dalam masa seminggu, kami perlu tawan dua atau tiga puncak gunung dan tentunya tidak mempunyai rehat yang cukup sebelum memulakan pendakian baharu.

“Bagaimanapun itulah cabaran dan pengalaman yang cukup menyeronokkan, apatah lagi saya sendiri memang gemarkan aktiviti lasak,“ katanya yang sebelum ini pernah mengacarakan program Xtreme Pesona.Biarpun aktif bekerja di saat pandemik Covid-19 masih belum menunjukkan tanda reda, Ruzana yang juga merupakan bintang KL Gangster Underworld 2 yang sedang bersiaran di WeTV itu mengakui semakin terbiasa dengan kehidupan norma baharu.

“Pada awalnya memang rasa takut untuk keluar bekerja dan menjalani rutin harian seperti biasa, tetapi mahu tidak mahu, hidup perlu diteruskan.

Iklan

“Bezanya kita hidup dalam norma baharu yang memerlukan semua orang menyesuaikan diri dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan, demi kebaikan dan keselamatan bersama.

“Saya sendiri sehingga kini tidak membuat sentuhan fizikal dengan nenek setiap kali melawatnya kerana tidak mahu mendedahkan dia kepada risiko untuk sebarang kemungkinan yang tidak diingini.

“Alhamdulillah sekarang masing-masing sudah terbiasa dengan rutin baharu yang perlu kita buat, tidak kira di mana pun kita berada dan sentiasa bertanggungjawab terhadap diri sendiri serta orang sekeliling,“ katanya yang juga pemilik perniagaan makanan, Lekor Crunch yang diusahakan bersama suami.

 

(FOTO: TV3 & Instagram Ruzana Ibrahim)