SETELAH beberapa ketika tidak muncul dengan buah tangan terbaru, kumpulan Sakura Band yang satu ketika dahulu popular dengan lagu Polaroid, Pelarian dan Melepaskanmu kini kembali dengan sebuah lagi karya untuk mengubati kerinduan peminat mereka.

Sakura Band yang dianggotai oleh Melly Matius (Mell) Ali, Haniff dan Akai kali ini mempertaruhkan lagu Monopoli selepas agak lama berehat.

Menurut Mell, lagu itu turut menampilkan sebuah video muzik istimewa yang cuba menggambarkan perjalanan dan detik-detik indah kumpulan ini sepanjang lapan tahun bersahabat dan berkarya bersama.

“Oleh kerana video muzik ini seolah-olah mengimbas kembali perjalanan kumpulan kami, terdapat beberapa babak yang boleh dianggap penuh emosi buat kami sendiri saat menonton dan merakamnya.

“Kami harap para peminat bukan sahaja dapat menerima dan menyukai lagu ini tetapi juga dapat merasai apa yang kami cuba sampaikan melalui lagu dan cerita dalam klip video ini,” ujarnya.

Lagu yang dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh ahli-ahli kumpulan Sakura Band sendiri ini, mendapat sentuhan Taja selaku penerbit.

Menurut Sakura Band, Monopoli menceritakan tentang perasaan seseorang individu yang mencurahkan sepenuh hidupnya ke atas perkara atau orang yang disayangi.

Iklan

Dalam penulisan Sakura Band, ia lebih menjurus kepada dedikasi dan komitmen dalam muzik serta persahabatan mereka yang telah mencapai usia lapan tahun bersama.

Perasaan itu sentiasa ‘memonopoli’ atau menakluk diri mereka dan membuatkan Sakura Band terus berkarya dan menghasilkan muzik.

Iklan

Monopoli edaran Universal Music Malaysia boleh dimainkan dan didengari di semua platform digital bermula 27 November lalu dan video muziknya juga boleh ditonton bermula pada tarikh tersebut.