Sambung legasi arwah bapa, Dira Abu Zahar bertanding di PRN Melaka
HASRAT selebriti popular Datuk Dira Abu Zahar untuk menyambung legasi arwah bapanya, bekas Ketua Menteri Melaka kelapan, Datuk Seri Abu Zahar, menabur bakti kepada masyarakat setempat bakal menjadi kenyataan menerusi pencalonannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Dira atau nama penuhnya Khaidhirah Abu Zahar, 37, bakal bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Jasin, Melaka.
Menurut pelakon drama Seratus Hari Jadi itu, DUN Rim begitu dekat di hatinya kerana ia merupakan tempat dia dibesarkan.
“Saya Khaidhirah Abu Zahar dengan rasa rendah diri menawarkan diri bertanding sebagai calon Barisan Nasional bagi N.25 DUN Rim, calon nombor tiga.
“Sesungguhnya DUN Rim, Jasin ini begitu dekat di hati dan kampung saya membesar di sini,” ujarnya.
Ungkap Dira, sebagaimana arwah bapanya, dia juga mahu menyumbang khidmat kepada masyarakat dan mengembalikan kecemerlangan pemimpin terdahulu dalam membangunkan negeri kelahirannya itu.
“Saya gagahkan diri mengambil tanggungjawab ini demi mengikut jejak langkah arwah ayahanda saya, Datuk Seri Abu Zahar untuk menabur bakti dan menyumbang khidmat kepada rakyat.
“Banyak yang telah dilakukan oleh pemimpin BN terdahulu dan menjadikan Melaka sebuah negeri maju.
“Saya percaya legasi kecemerlangan pentadbiran ini perlu diteruskan semula. Bukan untuk yang lain, tetapi untuk kita semua.
“Dengan lafaz bismillahirahmanirrahim, saya memohon agar pengundi N.25 DUN Rim memberikan kepercayaan dan mandat kepada saya untuk mewakili anda semua. Saya calon nombor tiga anda pada 20 November 2021 ini,” katanya menerusi satu hantaran di laman Instagram pada Selasa.
Dira yang pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik, Anugerah Kasih Tribute P. Ramlee (2017) mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada bidang lakonan dan terlibat dengan kerja-kerja belakang tabir.
Dalam masa sama, anak jati Melaka itu bergiat aktif dalam bidang politik dan terkini bertanding sebagai calon PRN Melaka yang akan berlangusng pada 20 November ini.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang