Sambut ulangtahun ke-20, Fareast kembali bergabung dalam Warkah Munsyid
NAMA kumpulan nasyid Fareast tidak perlu diperkenalkan lagi. Kumpulan yang ditubuhkan sejak 2001 ini juga pernah menghasilkan tujuh album yang kebanyakan lagu mereka mendapat tempat di hati pencinta irama nasyid tempatan.
Malah sepanjang 20 tahun berada dalam arena nasyid tanah air, Fareast sudah melakar pelbagai kejayaan antaranya menerusi Juara Anugerah Nasyid IKIM menerusi lagu Syahadah, Vokal Terbaik Anugerah Nasyid IKIM (Gugur Di Setiamu), Finalis Anugerah ERA, Finalis Album Nasyid Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) dan banyak lagi.
Dan bersempena meraikan sambutan ulangtahun ke-20, Fareast muncul dengan single Warkah Munsyid yang turut menggabungkan beberapa anggota lama kumpulan itu dengan menggelarkan kemunculan mereka menerusi projek ini sebagai FAREASTIMEWA.
Mereka terdiri daripada Nabil Ahmad (Ustaz Nabil); Shairiman Badzri (Cikgu Man); Ahmad Fadzli Bakar (Fadzli); Naemul Helmi Mohd Napiah (Naim Mirwana) dan Raja Muhammad Suhaimi Bin Raja Chulan (Maliq Suhaimi).
Lagu Warkah Munsyid adalah hasil ciptaan Fadzli (Fareast) dan Amy Bong dan lirik oleh Fadzli dan Hazalinda yang mana video muzik dilancarkan secara rasmi pada 16 Julai lalu di saluran YouTube Seventeen Eleven Music Music.
Mewakili Fareast dan Fareastimewa, Nabil Ahmad atau dikenali sebagai Ustaz Nabil, lagu Warkah Munsyid adalah sesuatu yang istimewa selain menjadikan ia projek ‘reunion’ bersama anggota lama Fareast dalam meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan itu.
“Lagu ini menceritakan mengenai luahan hati kami berkenaan perjalanan sebagai pendakwah di atas pentas dengan menyampaikan mesej melalui lagu Islamik.
“20 tahun bukan tempoh pendek dan panjang, sebab itu dalam beberapa rangkap lagu menggambarkan perjalanan ini di mana pelbagai kerenah yang kami temui sepanjang menjalankan dakwah ini.
“Kedua, kami nak kongsi nasihat dan pandangan terutama kawan-kawan dan adik-adik kami yang baru nak mencipta nama apa yang penting dalam nak berdakwah ini adalah ukhwah Islamiah.
“Apa yang menarik, dalam video muzik lagu ini, kami menceritakan perjalanan Fareast bermulanya dari UiTM Arau, Perlis sehinggalah kami ke Kuala Lumpur (KL),” katanya.
Gabung semua ahli
Menurut Nabil, menerusi lagu Warkah Munsyid itu dia bersama anggota dua lagi anggota Fareast kini dapat menggabungkan beberapa anggota lama Fareast.
“Kumpulan Fareast bersilih ganti, bermula dengan empat anak muda, semuanya pelajar di UiTM Arau. Selepas berhijrah ke KL dan bekerja, Fareast mula bersilih ganti.
“Album pertama dan kedua empat orang, album ketiga berlima, kemudian bila album keempat serta kelima, Fareast kembali berempat.
“Kalau ikutkan sekarang, Fareast tinggal bertiga sebab ada yang bergerak solo, sertai kumpulan lain, menjadi DJ radio, cikgu dan banyak lagi.
“Jadi kami ada keluarga besar, sebab itu namakan FAREASTIMEWA khas untuk projek ini. Memang kalau ada jemputan kita akan bawa kawan-kawan yang pernah menganggotai Fareast dan namakan dengan Fareastimewa atau Fareast & Friends,” jelasnya.
Idea dari Darussyifa'
Tambah Nabil, idea untuk menggabungkan kesemua ahli kumpulan ini bermula dari Darussyifa’.
“Mereka nak minta lagu tribute untuk pengasas Darussyifa’, Allahyarham Datuk Dr Haron Din.
“Ketika itu kami dapat idea bawa vokalis Fareast dulu. Itu yang kami jemput bermula dengan lagu Pewaris. Kemudian dapat pula peluang terbabit dalam program IKIM, kami buat lagu berjudul Pelita.
"Terbaharu lagu ini, Warkah Munsyid. Seolah-olah projek ini yang berturut-turut memberi peluang kepada kami untuk saling bekerjasama,” katanya.
Pembabitan beberapa anggota lama Fareast dalam projek lagu Warkah Munsyid itu diharap dapat meneruskan legasi nasyid mereka sekali gus berdakwah kepada peminat.
“Besar harapan untuk terus berada dalam bidang ini. Atas sokongan dan dukungan yang tak pernah berhenti daripada kawan-kawan dari dulu sampai sekarang. Bahkan ada otai-otai nasyid yang sentiasa membantu. Generasi demi generasi sentiasa memberikan impak positif seni suara.
“Selama 20 tahun, kadang kami fikir ini yang terakhir. Tapi berbalik soal dakwah, Nabi Muhammad SAW sehingga wafat pun dakwah tetap diteruskan. Jadi, ini bukan warkah terakhir kami, tapi ini adalah warkah untuk diri sendiri dan semua munsyid.
“Kami harap lagu ini diterima semua lapisan. Konsep bukan terlalu nasyid walaupun mesej untuk nasyid, tapi masih boleh dikategorikan sebagai irama kontemporari dan mesej umum. Dalam hidup ini pelbagai kerenah manusia yang kita kena sabar dan kuat. Apa yang penting terus belajar daripada pengalaman kehidupan bagi mematangkan kita,” akhiri Nabil.
https://youtu.be/cpg3PR2Bm8w
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang