DIAM tak diam, hari ini genap 100 pemergian penyanyi Sandra Dianne. Meski jasadnya sudah tidak bersama, legasi ditinggalkannya masih utuh.

Biarpun tidak sempat melancarkan lagu terbaharunya, namun hasrat terakhir anak kelahiran Tuaran, Sabah itu tetap dilaksanakan oleh komposer Jonathan Tse.

Menurut Jonathan, Sandra sempat merakamkan lagu yang juga merupakan hasil karya Jonathan bersama Mohariz Yaakub.

Lagu itu akhirnya diberi judul ‘Sandra’, sememangnya penuh makna mendalam terutama buat Jonathan sendiri.

“Lagu ini merupakan bingkisan terakhir bersama Sandra Dianne, penuh beremosi dan meruntun jiwa. Apalagi, jalan ceritanya berkisar mengenai seseorang yang ditinggalkan insan tersayang. Apabila mengetahui Sandra meninggal dunia, saya kehilangan kata-kata.

“Lagu ini saya cipta bersama Mohariz tanpa menetapkan siapa penyanyi tepat pada asalnya. Sebaik Sandra mendengarnya, dia terus jatuh cinta dan mahukan lagu ini.

“Kami pun memang tahu kualiti nyanyiannya dan bersetuju memberinya kepada Sandra. Tidak sangka, dia berjaya menyuntik magis sendiri dalam nyanyian, bahkan dia menambah elemen uniknya,” katanya.

Jonathan (kiri) merupakan komposer untuk lagu Sandra yang dinyanyikan oleh Sandra Dianne sebelum dia meninggal dunia.

Jika didengar secara kasar, lagu ini mungkin nampak santai namun sebaik diteliti dan didalami, mesejnya begitu mendalam. Bait lirik yang ditulis ada penceritaan besar di mana bukan mudah menerima takdir apabila ditinggalkan orang tercinta.

Menurut Jonathan, inspirasi lagu ini terbit daripada kisah pemergian Arwah Ashraf Sinclair awal tahun ini.

“Kisah yang menimpa Bunga Citra Lestari selepas kehilangan suaminya itu memang sangat meruntun hati. Daripada situlah idea untuk menulis lagu ini tercetus. Idea itu sendiri saja pun sudah cukup menggambarkan bagaimana emosi yang disalurkan dalam lagu ini.

“Proses pembikinan lagu ini sebenarnya mengambil masa lebih kurang sebulan sahaja. Selepas mendengarnya, Sandra pantas menguasai dan tahu bagaimana untuk menghidupkan lagu ini.

“Disebabkan itu, tidak lama pun masa yang diambil untuk merakam lagu ini. Kami berjaya siapkan dalam beberapa jam sahaja,” katanya.

Bercerita lanjut, menurutnya lagu ‘Sandra’ dibuat bukan setakat untuk mereka yang kehilangan seseorang disebabkan meninggal dunia.

Sebaliknya, ia lagu yang sesuai dengan situasi sesiapa juga termasuk pasangan bercinta apabila ditinggalkan kekasih.

Dalam pada bersedih, mereka tetap harus kuat meleraikan kesedihan itu.

“Lagu ini bukan membawa maksud untuk meratapi pemergian orang tersayang itu sebaliknya curahan hati bagaimana seseorang melakukan refleksi terhadap hal itu. Bagaimanapun, elemen kesedihan itu pastinya tetap ada dan terserlah dalam melodi serta cara penyampaian bait-bait liriknya,” katanya.

Terdahulu, Sandra disahkan meninggal dunia pada 11 September selepas terbabit dalam nahas jalan raya. Lebih memilukan, Allahyarham ketika itu sedang bertanding untuk program Big Stage musim ketiga di saluran Astro Ria tahun ini.

Sandra sebelum ini meledak menerusi lagu
Hey! Kau, Terkemuka, Tulus, dan Jelaskan. ‘Sandra’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.

YouTube video