Sanjna Suri mahu keluar dari zon selesa, sedia bawa watak Muslim

A
A
A

MULA menyertai dunia glamor sejak lima tahun lalu, Sanjna Suri tekad 'meninggalkan' gelaran ratu cantik kerana ingin serius dalam bidang lakonan.

Pemenang Miss Intercontinental Malaysia 2017 dan Miss Supranational Malaysia 2018 ini mahu mengasah bakat dalam dunia seni tempatan.

"Saya sangat berdedikasi untuk mengasah bakat yang ada. Saya minta orang lain jangan pandang pada rupa atau kecantikan saya sahaja, saya mahu belajar dalam industri lakonan.

"Saya dikenali sebagai ratu cantik dan model yang boleh berlakon. Saya tak mahu lagi dikenali dengan gelaran terbabit kerana ia sudah berlalu.

"Sekarang saya berusaha untuk dikenali sebagai pelakon kerana saya sudah tidak menyertai pertandingan ratu cantik dan kurang mengambil tawaran dalam bidang peragaan. Minat saya memang dalam dunia lakonan," katanya.

Sanjna berharap dapat diberi kepercayaan untuk membawa pelbagai watak berbeza.

Terbuka mencuba pelbagai watak, Sanjna yang pernah menghadiri beberapa bengkel lakonan bersama pelakon tersohor Fauziah Ahmad Daud sering diberikan watak cameo dalam drama-drama arus perdana.

"Sangat susah nak 'menembus' dunia hiburan tempatan kerana saya bukan Melayu. Saya selalu dapat watak bukan Melayu, watak wanita India atau wanita berdarah campuran.

"Saya nak pecahkan stereotaip terbabit dan tak kisah cerita itu memerlukan saya memakai tudung, melakonkan babak aksi atau karakter tomboy.

"Saya 100 peratus terbuka menerima watak wanita muslim. Saya menghormati semua agama dan saya pun memang membesar dalam kalangan orang Islam," jelasnya yang berharap dapat memberi kelainan dalam lakonan.

Dalam perkembangan lain, filem lakonan Sanjna, Mundey Kampung Dey kini ditayangkan di pawagam bermula 15 Disember lalu.

Filem yang mendapat dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ini diarahkan oleh Mansher Singh.

"Saya memegang watak heroin bernama Keeran. Apa yang menariknya, filem ini merupakan naskhah Punjabi tempatan pertama yang dihasilkan di Malaysia.

"Saya tak sangka lakonan saya mendapat respons positif media dari Pakistan. Mereka menggemari keserasian saya dan hero, Anwaar Beg Moghal.

"Saya teruja kerana filem ini juga berada dalam fasa perbincangan untuk ditayangkan di Pakistan. Saya berharap peminat dapat menyokong karya ini dengan menonton di pawagam," tuturnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca