MENJELANG hari bahagianya, aktres Intan Ladyana melakukan satu usaha murni dengan menghulurkan sumbangan kepada komuniti ibu tunggal yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Inisiatif itu dilakukan Intan atau nama sebenarnya, Intan Nurladyana Mohamat Yahaya, bersempena menzahirkan rasa syukur di atas pelantikannya sebagai duta produk kesihatan dan kecantikan, Seri Lady.

Menurut Intan, 39, dia menyifatkan rezeki yang diterima ini adalah untuk dikongsikan bersama, lebih-lebih lagi dengan mereka yang memerlukan.

“Dalam rezeki saya ada rezeki orang lain. Siapa sangka dalam kesibukan kerja dan membuat persiapan perkahwinan, saya dilamar pula menjadi duta produk Seri Lady.

“Jadi saya terfikir apa salahnya jika saya infaqkan sedikit rezeki yang Allah SWT beri untuk dikongsi bersama golongan yang memerlukan,” ujarnya.

Penyayang…Intan melayani adik Amin Sabri Jamsari, 7 tahun, yang menghidap epilepsi. Manakala gambar kiri, Intan bersama Pengasas Seri Lady, Juzailah Shariff.

Tambah pelakon Bougainvillea itu, dia memilih golongan ibu tunggal kerana merasa dekat sementelah dia sendiri dibesarkan oleh ibu tunggal.

“Sumbangan ini berupa produk dan wang tunai untuk komuniti ibu tunggal yang terpilih. Mereka ini antara yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Saya sendiri dibesarkan oleh seorang ibu tunggal. Saya nampak macam mana ibu saya bekerja keras untuk membesarkan kami tiga beradik.

“Bagaimana ibu bahagikan masa untuk keluarga dan pada masa sama bekerja demi kelangsungan hidup.

Iklan

“Jadi saya faham masalah yang dihadapi oleh kebanyakkan ibu tunggal. Dikesempatan ini saya cuba untuk membantu mereka sedikit sebanyak yang saya mampu,” jelasnya.

Dalam pada itu, berkongsi persiapan perkahwinan dengan pengacara, penyanyi dan pelakon, Harris Alif, Intan berkata, apa yang diharapkan majlis itu nanti berjalan dengan lancar.

Difahamkan, majlis pernikahan tersebut bakal berlangsung di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Kuala Lumpur, sehari lebih awal daripada perancangan asal.

Iklan

Ianya hanya membabitkan ahli keluarga terdekat sahaja, bagi mengikuti prosuder operasi standard (SOP) yang ditetapkan menerusi syarat pernikahan sepanjang musim Covid-19 ini.

Haris dan Intan akan bersatu sebagai pasangan suami isteri selepas hampir setahun bercinta.

“Jika tiada aral saya dan Harris akan bernikah minggu ini. Alhamdulillah persiapan kebanyakkannya sudah siap, cumanya dalam keadaan sekarang ini contohnya dengan kes Covid-19 makin meningkat setiap hari, jadi agak susah untuk membuat perancangan atau meletakkan satu tarikh untuk majlis.

“Harapnya tiada sebarang perubahan saat akhir dan semoga ia berjalan dengan lancar. Insya-Allah doakan kami berdua,” katanya bakal menyarungkan busana perkahwinan rekaan, Dato Ruiffai.