MENAMATKAN spekulasi dan tanda tanya peminat, penyanyi Siti Sarah, akhirnya berkongsi berita gembira kini sedang hamil cahaya mata keempat.

Menerusi perkongsian yang dilakukan menerusi laman Instagram miliknya pada Jumaat, Sarah turut memuat naik sebuah video yang dirakam pada 15 Februari lalu, menunjukkan reaksi suaminya, Shuib Sepahtu dan anak-anak yang teruja dengan berita tersebut.

“Alhamdulillah syukur ya Allah. Permata nombor empat bakal menyusul tidak lama lagi. Baby baru on the way!

“Syukur ya Allah atas rezeki yang Allah kurniakan ini untuk saya dan suami.

“OK, jujur saya tak sangka, lepas enam tahun melahirkan Matin, saya dapat lagi rezeki merasai detik kehamilan baru sekarang,” luahnya.

Menurut Sarah, 37, ramai yang bertanya tentang perubahan bentuk badannya dan ada yang sudah dapat meneka mengenai kehamilannya, namun ketika itu dia belum bersedia untuk berkongsi.

“Ramai tanya masa mula-mula dulu, tapi saya tak berani cakap lagi. Sekarang bila rasa kandungan dah kuat, baru saya berani nak bagitahu.

“Minta maaf tau sebab tak bagitahu awal sebab sebelum ini saya pernah ada anxiety, jadi saya tak nak tertekan masa awal kehamilan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Semakin itu juga memohon orang ramai agar mendoakan kesejahteraan buat dirinya dan bayi dalam kandungan.

Iklan

“Saya nak minta anda semua, doakan saya dan kandungan. Saya doakan juga para ibu di luar sana yang mahu merasai saat kehamilan, moga Allah murahkan rezeki kalian untuk hamil dan menjadi ibu. Amin,” katanya.

Sarah mendirikan rumah tangga bersama pelawak dan juga usahawan, Shuib, 37,  pada 26 Februari 2011.

Iklan

Pasangan popular ini mempunyai tiga orang cahaya mata iaitu Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

 

(FOTO: Instagram Siti Sarah)