JUARA Big Stage 2020 (BS2020), Azzam Sham tidak mahu lagi memanjangkan isu  mengaitkan salah faham yang berlaku antara dia dan salah seorang peserta BS2020, Farisha Iris yang hangat diperkatakan baru-baru ini.

Menurut Azzam atau Azzam atau nama penuhnya Muhammad Azzamuddin Lop Hisham, 23, perkara tersebut sudah selesai.

Malah dia dan Farisha yang sudah saling mengenali semenjak kecil itu tidak mempunyai sebarang masalah.

Meskipun tidak mengeluarkan kenyataan sebelum ini, kata Azzam, dia sudah membuat penjelasan dan memohon maaf secara peribadi kepada Farisha sebaik sahaja salah faham tersebut timbul.

“Semuanya sudah selesai dan kami berdua tidak ada apa-apa masalah.

“Saya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum ni kerana tidak mahu memanjangkan isu yang berlaku kerana salah faham kecil ini.

“Sebenarnya sebaik sahaja tahu tentang luahan yang dibuat Farisha, saya terus menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp untuk beri penjelasan dan memohon maaf,” ujar Azzam.

Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Sejatiku itu turut mengakui kesilapannya yang silap memilih perkataan sehingga apa yang diperkatakan ketika sesi temubual dalam program MeleTOP minggu lalu mengundang salah faham Farisha.

“Bagaimanapun, saya akui kesilapan saya. Sebenarnya saya tidak bermaksud membuat sesiapa pun terasa, cuma mungkin disebabkan cara komunikasi yang lemah menyebabkan apa yang saya sampaikan itu disalah ertikan.

Iklan

“Apa yang berlaku ini saya jadikan pengajaran agar tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“Insya-ALLAH saya akan cuba belajar untuk memperbaiki kelemahan komunikasi saya.

“Saya percaya apa yang dilalui ini adalah proses dan pengalaman untuk saya menjadi lebih baik dan matang selepas ini,” tegasnya.

Iklan

Terdahulu, Farisha Iris meluahkan rasa terkilan apabila Azzam menerusi program terbabit telah mengeluarkan kenyataan yang dianggap tidak menjaga sensitiviti dirinya yang tersingkir ketika konsert separuh akhir BS2020.

 

(FOTO: Azrul Rafi – Astro)