PELAKON Bella Dally tampil membuat perjelasan selepas timbul kekeliruan berhubung tindakannya yang dikatakan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan merentas sempadan negeri pada Ahad lalu.

Bella atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally, 29, bersama rakannya dikatakan melakukan aktiviti berbasikal merentasi sempadan di Jalan Gombak Lama ke arah Genting Sempah sehingga dikecam teruk netizen sebelum dipanggil pihak polis untuk siasatan, semalam.

Bagaimanapun, Bella menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Instagramnya hari ini, menjelaskan, dia tidak merentasi sempadan seperti mana ditularkan.

“Saya mengambil maklum laporan media termasuk yang tular di media sosial berkaitan dakwaan saya mengingkari PKPB yang sedang berkuat kuasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ketika ini.

“Untuk makluman, saya telah selesai memberi keterangan dan akan memberi kerjasama penuh kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

“Apa yang berlaku pada 18 Oktober lalu (Ahad), saya dan seorang rakan melakukan aktiviti riadah berbasikal di sekitar daerah Gombak, berhampiran Hutan Lipur Sungai Tua yang berdekatan dengan sempadan antara negeri Selangor dan Pahang.

“Satu gambar telah dimuat naik ke Instagram saya dengan kapsyen ‘Woohoo Genting Sempah with…” dan ia telah menimbulkan kekeliruan sehingga ada yang mendakwa saya telah merentasi antara dua negeri dan melanggar PKPB,” jelasnya.

Tegas pelakon drama Cinta 11 Syarat itu lagi, dia dan rakannya masih berada dalam negeri Selangor dan tidak merentasi sempadan antara dua negeri.

“Jika saya berada di sempadan negeri, sudah tentu ada papan tanda sempadan antara Selangor dan Pahang untuk rujukan.

Iklan

“Apa pun saya mengambi iktibar atas apa yang berlaku dan memohon maaf atas kekeliruan yang timbul ekoran hantaran di Instagram saya tempohari.

“Ini sahaja kenyataan saya untuk merungkai kekeliruan yang berlaku dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melangkapkan siasatan,

Iklan

“Saya memohon maaf sekali lagi dan bersama-sama dengan semua dalam usaha kita memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya yang turut mendoakan agar semua berada dalam keadaan selamat.

 

(SUMBER & FOTO: Instagram Bella Dally)