KEMELUT rumah tangga pelakon dan pengarah Mohd Saufi Zami dan pasangannya Zamzarina Mohammed akhirnya terjawab apabila pasangan itu sah bercerai talak satu, pada jam 10.47 pagi ini, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Lafaz cerai itu dibuat Mohd Saufi atau lebih dikenali sebagai Opie Zami, 46, terhadap Zamzarina, 43, di hadapan Hakim Syarie, Ahmad Mahir Zanial.

Hakim Ahmad Mahir mendengar lafaz cerai itu, kemudian mensabitkan perceraian dengan talak satu terhadap pasangan itu dan memerintahkan Zamzarina menjalani tempoh idah selama tiga bulan, termasuk Opie perlu mendaftarkan perceraian mereka dan sijil nikah dibatalkan.

Zamzarina selaku plaintif memfailkan penceraian terhadap Opie selaku defendan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 pada 16 Mac lalu.

Terdahulu, suasana dalam mahkamah bertukar hiba apabila pasangan itu menangis ketika bermaafan dan bersalaman buat kali terakhir sebagai suami isteri sebelum Opie melafazkan cerai.

Zamzarina yang berjubah hitam dilihat hanya tunduk ketika bersalaman dengan Opie yang berbaju T putih serta berseluar jeans biru.

Pada prosiding itu, Opie tidak diwakili peguam, manakala Zamzarina diwakili peguam syarie, Azmanira Ismail@Zanudin.

Sementara itu Opie, ketika ditemui di luar mahkamah berkata, masalah rumah tangga dia dan isterinya sudah lama berlaku.

Namun menurut Opie, ia terlalu peribadi untuk dikongsi dan hanya mengharapkan agar penceraian ini merupakan keputusan yang baik antara kedua belah pihak.

“Saya buat keputusan ini dengan rela dan reda dan dalam situasi ini saya yang salah dan isteri saya tidak salah kerana saya yang gagal membentuk isteri menjadi isteri mithali.

“Lepas ini saya akan uruskan hak penjagaan anak-anak dan tuntutan nafkah,” katanya.

Iklan

Bagaimanapun bekas isterinya Zamzarina yang turut ditemui luar mahkamah berkata, ketiga-tiga anak mereka kini dalam jagaannya.

“Saya telah naik ke mahkamah sejak 2016, 2018 dan kini 2020 tetapi akhirnya perkahwinan kami menemui noktah hari ini.

“Kami akan berbincang untuk tindakan selanjutnya berhubung tuntutan nafkah,” katanya.

Iklan

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 5 Disember 2003 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Ammar Shah Saidi,15, Aliff Shah Syedi,13, dan Arrif Shah Saidi, 8.

 

(OLEH: Rosalwani Che Soh @Yusoff)