Saya bukan nak bersaing dengan penyanyi muda - Siti Nurhaliza
BUKAN mudah untuk menjadi seorang yang berjaya tanpa usaha dan jiwa kental menjadi sandaran.
Begitulah gambaran yang diberikan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika bercerita tentang kejayaan dikecapi, baik dalam gelanggang seni mahupun perniagaan.
Di sebalik kelembutan tutur kata dan gaya sederhananya, Siti, 42, mengakui mempunyai semangat yang kuat dalam melunaskan setiap misi, meskipun kadangkala berdepan dengan pelbagai ranjau.
Menurut anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu, pernah suatu ketika dirinya terfikir mahu menghentikan sahaja perniagaan kosmetiknya, SimplySiti disebabkan cabaran berat yang didepani.
Namun berkat sokongan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan keazaman yang disemai dalam diri, dia bangkit bertahan dan meneruskan misi membawa perniagaan diusahakan ke puncak kejayaan.
“Apa sahaja bidang yang kita lakukan, baik dalam bidang perniagaan mahupun seni memang akan ada cabaran dan fasa turun naik.
“Kalau ikutkan sepanjang menceburi bidang perniagaan dan mengusahakan produk kosmetik SimplySiti lebih 11 tahun lalu, macam-macam dugaan saya lalui termasuk ditipu dan berdepan pekerja tidak jujur.
“Paling mencabar juga ketika suami saya kemalangan beberapa tahun lalu sehinggakan saya perlu melepaskan seketika urusan perniagaan kepada pekerja. Dari situ barulah saya tahu mana (pekerja) yang jujur, setia dan sebaliknya,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk SimplySiti For All – Reflection Of Perfection' dan sesi memperkenalkan duta SimplySiti baru-baru ini.
Bagaimanapun, ibu kepada dua cahaya mata itu, sentiasa optimis dan bersemangat untuk terus melangkah ke hadapan. Segala perancangan diatur satu persatu agar aspirasi yang digariskan tercapai, tetapi dalam masa sama tidak mengabaikan apa yang sedia.
“Saya sentiasa melihat setiap cabaran yang datang itu dengan fikiran yang positif. Malah saya tidak pernah menyalahkan, apatah lagi berasa kesal dengan apa yang dilalui.
“Alhamdulillah ALLAH SWT permudahkan perjalanan perniagaan yang saya usahakan meskipun ada cabarannya yang tersendiri.
“Terima kasih kepada suami dan keluarga termasuk ibu dan ibu mertua saya yang banyak mendoakan kejayaan ini. Selain restu suami, saya yakin doa kedua-dua ibu membawa saya berjaya hingga ke tahap sekarang,” katanya.
Ikut trend semasa
Dalam pada itu, penyanyi yang bakal menyambut ulangtahun ke-25 penglibatannya dalam bidang seni tidak lama lagi mencuri perhatian ramai apabila dilihat turut aktif di plaform TikTok yang menjadi kegemaran generasi milenial hari ini.
Siti berkata, sebagai seorang selebriti, dia sentiasa terbuka mengikut arus semasa, apatah lagi jika ia memberi manfaat pada diri dan kerjaya.
“Saya percaya kita kena sentiasa ikut perubahan dan trend sekarang. Bukan sahaja dalam industri kreatif, tapi bidang perniagaan juga begitu.
“Tidak dinafikan TikTok dipelopori generasi muda, tapi tidak salah golongan seperti saya juga turut menggunakan platform tersebut. Saya aktif menggunakannya untuk kerjaya seni dan perniagaan.
“Bagaimanapun saya memilih konten yang sesuai dan kena dengan cara, imej serta usia. Tak mahulah buat benda merepek kerana saya sendiri meletakkan had tertentu," tegasnya.
Tidak hanya itu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Anta Permana juga melihat platform perkongsian video tersebut sebagai pengantara dirinya dengan peminat generasi baharu, apatah lagi turut tercalon dalam kategori Artis TikTok Popular di Anugerah Bintang Popular 2021.
“Kalau dulu saya tahu peminat menyokong saya dengan cara yang bagaimana dan saya pasti peminat zaman sekarang pula berbeza dengan cara mereka.
“Apa-apa pun, saya bersyukur dapat menarik peminat generasi baharu mengenali dan mendengar lagu-lagu saya menerusi beberapa projek kolaboratif bersama artis muda seperti yang dilakukan bersama Luca Sickta dan Kmy Kmo.
“Pada masa sekarang, saya bukan nak bersaing dengan penyanyi muda atau nak tunjuk siapa lagi bagus. Itu bukan matlamat saya, sebaliknya mahu memberikan sokongan dan memeriahkan industri seni tanah air. Itu sahaja,” kata Siti.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang