PELAKON Aeril Zafrel mendedahkan dia dan keluarga hampir menjadi mangsa sihir apabila menemui beberapa objek yang dipercayai digunakan untuk tujuan tersebut baru-baru ini.

Menerusi satu perkongsian di laman Instagram miliknya pada Ahad, Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 33, berkata, percubaan tersebut bagaimanapun berjaya dikesan dengan bantuan mereka yang arif.

“Setiap orang ada ujian, cubaan dan dugaan masing-masing. Hanya dengan pertolongan ALLAH sahaja segalanya dipermudahkan jalan keluarnya dan mampu dihadapi dengan tenang.

“Begitu juga dengan saya, Alhamdulillah …. ALLAH hantarkan bantuannya menerusi orang yang arif, saya dan keluarga terselamat daripada permainan ilmu sihir ‘seseorang’ baru-baru ini,” dedahnya.

Meskipun begitu, pelakon drama Tercipta Satu Ikatan itu, mengakui telah memaafkan perbuatan tersebut dan berharap pihak yang melakukan penganiayaian itu segera bertaubat.

“Barangkali ada salah dan khilaf yang saya tak sedari, saya dengan rendah hati memohon maaf pada pihak yang terasa hingga tergamak melakukan percubaan sihir itu.

“Sejujurnya saya memaafkan perbuatan aniaya ‘pihak itu’ kepada saya. Selebihnya saya serahkan pada ALLAH Rafiqul A’la. Semoga bertaubat dengan sesungguhnya,” katanya.

Dalam pada itu, Aeril juga mengajak pihak terbabit untuk bersemuka dengannya jika masih ada lagi perasaan tidak puas hati terhadap dirinya.

Iklan

“Sekiranya masih ada lagi rasa tidak puas hati atau ingin melampiaskan amarah atau menegur kesilapan saya, marilah bertemu secara nyata.

“Insya-ALLAH saya akan berlapang dada untuk mendengarnya dan membetulkan apa jua kesalahan saya jika ada.

“Saya mohon ampun maaf pada semua. Saya serahkan diri saya, isteri dan anak-anak kepada sebaik-baik tempat berlindung dan perlindungan Yang Maha Menyelamatkan, ALLAHhu Robbi,” katanya.

Iklan

 

(SUMBER & FOTO: Instagram Aeril Zafrel)