Saya mengakui itu memang salah saya – Fauzi Nawawi buat permohonan maaf secara terbuka

FAUZI NAWAWI
FAUZI NAWAWI
A
A
A

PELAKON Fauzi Nawawi tampil memohon maaf secara terbuka kepada Raja Farah Raja Aziz selepas video kenyataannya mengenai pengalaman menjayakan babak rogol bersama pelakon itu dalam sebuah filem tular di laman Twitter pada Selasa.

Menurut Fauzi, 48, petikan video tersebut merupakan sebahagian daripada perkongsian tentang pengalamannya dalam bidang lakonan menerusi sebuah program televisyen yang disiarkan pada Jun lalu.

Bagaimanapun, suami kepada pelakon Lisdawati itu terkejut apabila video itu tiba-tiba menjadi heboh dan tular di Twitter.

“Saya mohon maaf kepada semua yang terkesan dengan video itu, khususnya Raja Farah, suami dan seluruh keluarga.

“Mungkin agak lambat saya memuat naik video ini (permohonan maaf) kerana saya baru balik daripada kerja. Kebetulan saya terlibat dengan penggambaran babak berat, jadi saya tidak ambil tahu tentang perkara ini dan tutup telefon kerana tidak mahu ia mengganggu fikiran.

“Pada mulanya saya tidak tahu kenapa netizen marah sangat dengan saya sampai sanggup caci maki dan hantar mesej yang bukan-bukan menerusi DM, Twitter dan sebagainya.

“Selepas dah tengok video itu dan tahu puncanya, alhamdulillah saya terima dengan lapang dada dan tenang walaupun kusut juga memikirkan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai video yang tular itu, Fauzi berkata, selepas selesai rakaman program berkenaan yang dilakukan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dahulu, dia ada meminta pihak produksi dan penerbitan untuk menyunting bahagian-bahagian yang dianggap sensitif sebelum disiarkan.

“Memang salah saya bila bersembang dengan lelaki, tidak mengawal percakapan sehingga terlepas cakap dan terlepas nama Raja Farah.

“Sebenarnya ketika itu mereka bertanya tentang pengalaman saya menjayakan watak-watak yang saya pernah pegang. Jadi saya berkongsi tentang watak yang sinonim dengan saya sekitar 13-14 tahun lalu iaitu perogol, perompak dan lain-lain.

“Selepas rakaman dan bila sedar dah terlepas cakap, saya rasa ada benda yang patut dipotong supaya tak ditayangkan. Tapi malangnya program itu pun dah ditayangkan dua kali dan tak tahu kenapa ia tular pula di Twitter,” jelasnya.

Tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, Fauzi bagaimanapun mengakui kekhilafannya dan mengakui sedang memperbaiki diri ke arah lebih baik.

“Saya mengakui itu memang salah saya. Saya jahil, saya tak baik, tapi saya sedang memperbaiki diri saya untuk jadi lebih baik.

“Kepada mereka yang amat sensitif dan terkesan dengan video ini, suami Raja Farah, saya mohon maaf daripada hujung rambut sampai hujung kaki.

“Saya memang tidak ada niat langsung nak memalukan Raja Farah dan keluarga. Saya minta maaf dan saya tidak mahu lagi perkara ini dipanjangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Fauzi berlapang dada memaafkan semua netizen yang mengecam diri dan keluarganya disebabkan kejadian tersebut. Malah katanya lagi, dia menerima segala teguran yang diberikan dengan hati terbuka.

“Buat netizen perkara yang sanggup maki saya, mak saya, keluarga dan anak-anak saya, saya maafkan dan anggap anda semua terlalu prihatin dan sayangkan saya.

“Saya berterima kasih pada yang mengingatkan dan menegur kesalahahan saya sama ada secara baik atau kasar. Saya terima dengan rela hati,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi menerusi laman Instagramnya hari ini.

Sebelum ini, Raja Farah dan suami memberi maklum balas berhubung video terbabit dan mengakui ia sebagai satu perkara yang memalukan dan tidak patut berlaku.

Malah Raja Farah dalam kenyataan sama turut memohon Fauzi memohon maaf atas apa yang berlaku dan berharap agar ia tidak dipanjangkan lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca