SELEPAS berjaya mencuri tumpuan ramai dengan single terdahulu, Lelaki Di Telefon, penyanyi muda sedang meningkat naik, Afieq Shazwan tidak mahu menunggu lebih lama untuk tampil dengan buah tangan terbaharu.

Masih mengetengahkan genre R&B yang menjadi hala tuju muziknya sejak awal bergelar penyanyi, Afieq atau nama penuhnya Muhammmad Shafieq Shazwan, 23, baru saja melancarkan single dan muzik video berjudul Gerak Lu, pada Jumaat.

Single keempat Afieq itu merupakan hasil ciptaan dan lirik oleh DJ Fuzz, Aziquebeats dan Faezal, selain menjadi single kedua yang menyaksikan gandingannya bersama Malik Abdullah selepas single Lelaki Di Telefon.

“Sebelum ini saya pernah muncul dengan dua buah single balada berjudul Seandainya dan Darjat, tetapi malangnya kedua buah lagu ini kurang mendapat sambutan ramai.

“Entah kenapa, mungkin rezeki saya lebih kepada lagu-lagu rancak agaknya. Walau bagaimanapun, saya tidak akan berputus asa dan akan tetap menghasilkan lagu bergenre balada yang hit suatu hari nanti.

“Mungkin belum ada rezeki untuk saya nyanyikan lagu-lagu balada yang kuat dan dapat melekat di hati pendengar buat masa ini,” ujar Afieq.

Mengulas lanjut tentang Gerak Lu, Afieq berkata, lagu tersebut sangat bermakna buat dirinya kerana liriknya kebetulan menyentuh tentang kisah hidupnya sendiri.

“Ia sebenarnya tidak dirancang tetapi kebetulan lirik lagu ini seperti terkena dengan kisah hidup saya.

“Jadi saya tujukan tujukan lagu ini khas buat seseorang. Siapa orang itu, biarlah rahsia dan biar dia sahaja yang tahu.

“Apa yang penting, saya harap lagu ini dapat diterima semua pendengar, khususnya peminat muzik R&B,” katanya.

Bagaimanapun, di sebalik keterujaannya menantikan respon peminat, Afieq mengakui sedikit terkilan apabila konsep yang ingin diketengahkan menerusi muzik video single terbaharu itu tidak dapat direalisasikan.

“Sebenarnya konsep dan idea muzik video ni dah OK, cuma saya ada menyuarakan pendapat untuk muncul lebih berani dalam muzik video kali ini menerusi konsep lebih daring ala barat dan K-Pop.

“Saya minta untuk tampilkan babak menari tidak berbaju bersama penari untuk nampak lebih maskulin, bagaimanapun idea tersebut tidak mendapat persetujuan daripada pihak syarikat rakaman.

Iklan

“Pada awalnya saya ada berkeras kerana sudah membuat persiapan dan senaman khusus di gym, akhirnya saya akur sahaja dengan keputusan mereka,” akuinya.

Tambah Afieq, sebolehnya dia mahu tampil dengan sesuatu yang lain setiap kali muncul dengan karya baharu.

“Sebagai artis, kita kena berani. Kalau nak buat biasa-biasa sahaja, takut penonton jemu pula.

“Apatah lagi sekarang ini zaman media sosial di mana peminat dan penonton lebih suka tonton sesuatu yang unik dan trendy.

Iklan

“Jadi kalau nak tahu apa yang saya buat dalam muzik video lagu ni, kenalah tonton di YouTube,” katanya.

Single dan muzik video Gerak Lu telah dilancarkan serentak di semua saluran online digital termasuk saluran YouTube FMC Music mulai 27 November lalu.

 

(FOTO: FMC Music)