SELEPAS menerima kecaman hebat orang ramai berikutan ciapan kontroversi di laman Twitter miliknya berkenaan peningkatan kes jangkitan Covid-19 pada Ahad lalu, penyanyi Iman Troye tampil membuat permohonan maaf.

Menerusi kenyataan di laman Instagramnya pada malam Selasa, Iman atau nama lengkapnya Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 19, mengakui kesilapan yang dilakukan dan memohon maaf.

“Saya ingin mohon maaf atas kesilapan yang dilakukan. Saya mula sedar kesilapan ini selepas ciapan itu dimuat naik. Ia sangat mengelirukan dan saya akui perkara itu.

“Apa yang saya lakukan itu tidak sensitif. Saya sepatutnya lebih peka berkaitan hal ini. Saya tiada niat langsung untuk menyakiti hati mana-mana pihak, terutamanya petugas barisan hadapan dan mereka yang terkesan akibat Covid-19,” katanya.

Dalam kenyataan sama, penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Teman itu berkata, dia belajar daripada kesilapan tersebut dan berterima kasih kepada mereka yang menegur dirinya.

“Saya minta maaf. Insya-ALLAH saya akan belajar daripada kesilapan ini. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku.

“Terima kasih semua yang menegur. Saya akan cuba jadi lebih baik. Jaga diri semua,” katanya.

Terdahulu Iman mencetuskan kemarahan ramai apabila ciapannya di laman Twitter berkenaan peningkatan jumlah kes harian Covid-19 dianggap tidak sensitif.

Iklan

“Happy 6,900 everyone! Tahniah! Harap esok dapat 7,000 hihi,” tulisnya.

Tindakan tersebut menyebabkan Iman ‘diserang’ di laman Twitter biarpun sudah memadam ciapan tersebut. Iman dilihat menyahaktif akaun miliknya tidak beberapa lama selepas itu.

Iklan

 

(FOTO: Instagram Iman Troye)