PELAKON Syatilla Melvin tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu kontroversi melibatkan sebuah video transformasi wajah yang dikongsi baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di laman Instagramnya sebentar tadi, Syatilla, 32, berkata, dia tidak mempunyai niat langsung untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Saya nak minta maaf pada anda semua yang terasa hati pada saya. Sejujurnya demi Allah, saya tak ada niat apa-apa langsung pun.

“Itu hanyalah video yang mana saya buat menunjukkan perempuan tak pandai pakai eyeliner. Jadi perempuan-perempuan yang pernah mengalami situasi itu mungkin akan faham video itu,” katanya yang bakal melancarkan produk kecantikan terbaharu daripada jenama miliknya, Kekasih by The Melvins.

Bagaimanapun Syatilla yang juga isteri kepada Shaheizy Sam itu mengakui kesilapannya yang terlepas pandang dengan sensitiviti sesetengah pihak.

“Mungkin salah saya sebab terlepas pandang sensitiviti sesetengah pihak. Saya minta maaf sangat-sangat dan harap anda maafkan saya.

“Jangan risau, yang mana kutuk dan cakap bukan-bukan pasal saya, saya maafkan anda semua,” katanya.

Pelakon drama Sha & Shah itu juga memohon maaf kepada pihak media kerana tidak memberikan respon ketika dihubungi berkenaan isu tersebut.

Iklan

“Saya nak mintak maaf juga pada semua wartawan yang hubungi saya. Saya memang sengaja tak respon sebab tak nak keruhkan keadaan.

“Saya minta maaf, maafkan saya,” katanya.

Terdahulu tindakan Syatilla menerusi sebuah video yang dilihat menconteng mukanya menjadi gelap dan membuat transformasi menjadi cerah dan cantik mendapat kecaman ramai.

Iklan

Wargamaya ternyata kurang senang dengan kandungan video tersebut yang disifatkan ‘murahan’ kerana menyentuh isu sensitif berkenaan warna kulit, sekali gus menyinggung perasaan ramai.