[DIKEMASKINI] PENYANYI, pelakon dan pengacara popular, Alif Satar hari ini memaklumkan beliau disahkan positif koronavirus (Covid-19).

Menerusi Instagramnya, Alif memberitahu dia menjalani ujian saringan Covid-19 pada 21 November dan mengetahui keputusan itu hari ini.

“Dalam kesibukkan saya menjalani penggambaran, saya sudah melakukan beberapa ujian saringan Covid-19.

“Malangnya, keputusan terkini yang saya baharu saja terima hari ini menunjukkan saya didapati positif Covid-19 dan perkara ini amatlah mengejutkan serta mendukacitakan.

“Perkara pertama apabila saya dapat dapat tahu keputusan ini, adalah semestinya tahap keselamatan keluarga, isteri dan anak-anak saya, rakan-rakan di set penggambaran dan semestinya kontak rapat yang berjumpa dengan saya,” jelasnya dalam entri terbaharu di Instagram.

Menurut Alif, dia memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan mendoakan semua dijauhkan daripada sebarang kemudaratan.

“Saya telah memberi nama kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kontak rapat yang saya kenal pasti dalam tempoh 14 hari.

Iklan

“Saya mohon maaf atas segala kesulitan ini dan saya mohon doa semua agar diberikan kesembuhan dan kekuatan untuk menempuhi dugaan Allah SWT.

“Saya juga doa agar semua terhindar daripada sebarang kemudaratan,” katanya yang kini sedang menjalani proses kuarantin di sebuah pusat perubatan.

Iklan

Jumaat lalu, Alif baharu sahaja membuat persembahan di Separuh Akhir Muzik Muzik ke-35 (SFMM) menerusi lagu I Want You To Love Me ciptaan Faizal Tahir, Ezra Kong, Romeo dan Mike Chan.