SELEPAS mendirikan rumah tangga dan kini bergelar ibu kepada dua cahaya mata, pelakon Lisa Surihani dilihat seakan memperlahankan kerjaya seninya.

Malah Lisa, 34, tidak tampil dengan filem baharu selepas kali terakhir membintangi Sinaran, lima tahun lalu.

Bagaimanapun semenjak akhir-akhir ini, kelibat ibu kepada Yahaira Leanne, 5, dan Yusof Leonne, 3, dilihat kembali aktif menghiasi drama TV.
Drama Pelindung Seorang Puteri dan telefilem Aku Posmen, Kau Latifah, Dia Joseph merupakan antara kemunculan terbaharu Lisa di kaca TV, selain naskhah 6 Hari.

“Sebenarnya saya tidak pernah memperlahankan kerjaya seni secara sengaja, sebaliknya ia mungkin berlaku kerana saya mahu seimbangkan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu serta minat saya dalam kerjaya seni.

“Saya nak buat kedua-duanya dengan sebaik mungkin. Jadi banyak perkara yang perlu diambil kira agar tidak mengabaikan salah satunya,” ujar Lisa.

Bagi memastikan jadual hariannya berjalan lancar, Lisa mengakui ada meletakkan syarat tertentu kepada produksi sebelum bersetuju menerima sesuatu tawaran berlakon.

“Selalunya saya akan bertanya bolehkah menetapkan waktu kerja saya selama 12 jam sahaja.

“Ia sebenarnya lebih kepada perbincangan mengikut budi bicara untuk memudahkan urusan semua pihak terlibat.

“Saya berbuat demikian untuk memastikan dapat uruskan masa dengan baik di mana saya boleh keluar bekerja tetapi dalam masa sama melunaskan tanggungjawab dalam rumah tangga.

“Dari segi lakonan dan perwatakan, saya tidak pernah letakkan apa-apa syarat kecuali pada situasi di mana ada keperluan seperti babak  yang dirasakan betul-betul tidak sesuai dan sebagainya,” akuinya.

Menurut Lisa yang juga isteri kepada pelakon dan pengarah, Yusry Abdul Halim, dia bersyukur masih didatangi tawaran bagus dalam lakonan sehingga ke hari ini.

“Alhamdulillah rezeki dalam lakonan masih ada, selain peluang dalam bidang pengacaraan yang banyak memberi pengalaman baharu kepada saya.

Iklan

“Mungkin ada yang lihat sejak akhir-akhir ini saya banyak berlakon di bawah arahan suami dan beranggapan saya terikat dengan itu, tetapi sebenarnya tidak.

“Sejak dari dulu, saya akan tengok kepada naskhah terbabit dari segi skrip, produksi, pengarah, pelakon dan sebagainya. Kalau semuanya OK, saya tidak ada masalah untuk bekerja dengan siapapun,” katanya.

Dalam pada itu, pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 2010 dan 2014 itu mengakui pernah terfikir sampai bila dia mahu terus berada dalam bidang seni selepas hampir 15 tahun bergelar pelakon.

Iklan

“Bukan kerana mahu bersara, tetapi sebagai manusia biasa ada ketikanya akan terfikir sampai bila kita nak buat kerja yang dilakukan sekarang ini.

“Saya sering berdoa agar dipermudahkan dalam urusan kerjaya. Jika OK, saya teruskan seperti biasa, jika sebaliknya mudah-mudahan saya diberikan ilham untuk mencari sesuatu yang baharu pada masa akan datang,” katanya.

 

(FOTO: Rosli Talib)