SEJAK hujung tahun lalu, pelakon Zul Ariffin kerap berulang-alik antara Kuala Lumpur (KL), Mekah serta Madinah bagi menguruskan projek perniagaan yang sedang dirancang.

Masanya banyak dihabiskan di Tanah Suci dan hanya sesekali pulang ke tanah air apabila terlibat dengan penggambaran atau aktiviti seni yang memerlukan komitmennya di sini.

“Saya rasa tenang dan selesa dengan kehidupan baharu ini dan hanya fokus pada kerja. Seketika dapat lari daripada cerita-cerita panas yang sering dikaitkan dengan saya sebelum ini.

“Ada yang fikir saya terus menetap di sana, sebenarnya belum lagi. Saya masih berulang-alik ke KL mengikut keperluan.

“Tiada masalah untuk berbuat demikian, cuma jadual kerja saya sekarang kena rancang betul-betul agar semua yang diatur berjalan lancar,” ujar Zul.

Berkongsi rutin baharunya ketika berada di Tanah Suci, bintang filem J Revolusi itu berkata, dirinya cukup bertuah apabila dapat mengerjakan ibadah umrah dengan lebih kerap.

Zul pulang ke Kuala Lumpur apabila ada penggambaran.

Zul turut mengakui tidak pernah terfikir mempunyai kesempatan sebegitu, malah cuba menggunakan peluang tersebut dengan sebaiknya.

“Alhamdulillah saya dapat buat umrah banyak kali sepanjang berada di sana. Saya tak banyak aktiviti lain di Mekah dan Madinah, jadi boleh buat umrah pada bila-bila masa. Cuma bulan puasa, suasananya berbeza sedikit kerana ramai sangat orang yang datang buat umrah.

“Oleh sebab saya nak tinggal dalam tempoh lebih lama, saya memilih untuk tinggal di hotel yang jauh sedikit dari bandar. Jadi saya boleh dapat harga yang lebih rendah.

“Apa yang seronoknya, saya juga dapat tengok bandar-bandar kecil di sana, sekali gus belajar tentang kehidupan mereka,” katanya.

Bakal mengerjakan haji

Dalam pada itu, aktor verusi 37 tahun itu turut memaklumkan tentang hasratnya yang ingin mengerjakan ibadah haji tidak lama lagi.

“Insya-ALLAH saya sudah bersedia untuk mengerjakan haji pada musim ini. Keputusannya permohonan belum dapat, tapi peluangnya nampak macam cerah.

Iklan

“Saya sudah lama menyimpan impian mengerjakan ibadah haji dan sangat berharap agar dipermudahkan dan ada rezeki kali ini,” katanya yang bakal tampil dengan filem baharu terbitan Skop Productions tidak lama lagi.

Tambahnya lagi, jika segala perancangan berjalan lancar, dia bakal menetap lebih lama di Mekah dan Madinah.

Biarpun tidak berkongsi lebih lanjut tentang projek yang diusahakan, Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem ke-31 itu mengakui ia sedang berjalan dengan baik.

Iklan

“Saya harap urusan untuk menetap di sana dipermudahkan. Pada zaman teknologi serba canggih ini, tak ada masalah pun untuk berulang-alik ke Malaysia. Semuanya mudah, cuma kena ada duit sahaja.

“Daripada saya melancong sana sini, lebih baik saya duduk di Madinah atau Mekah. Saya bukan bagus pun, tapi berusaha untuk jadi lebih baik,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi