PELAWAK Man Raja Lawak kesal apabila dituduh melakukan pembedahan potong usus gara-gara mahu kurus.

Apatah lagi dalam tempoh tiga bulan sejak Februari hingga Mac lalu, Man atau nama sebenarnya, Abd Rahman Kassim, 43, berjaya menurunkan berat badan daripada 98 kilogram (kg) kepada  68kg.

“Kalau ada yang cakap saya jumpa doktor untuk potong usus atau pembedahan apa apa sekalipun, percayalah saya nak keluar rumah pun tak boleh sebab Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

“Tak baik fitnah cakap saya jumpa doktor. Memang taklah, melainkan jiran sebelah rumah,” katanya.

Menurut Man, penurunan berat badannya sehingga 30 kilogram (kg) itu adalah kerana dia mengambil produk kesihatan selain mengamalkan cara hidup sihat.

“Kalau asyik fikir cakap orang, sampai ke sudah kita akan terus berada di takuk lama. Jadi saya ambil pendekatan tak ambil peduli.

“Untuk memujuk hati, saya anggap mereka dengki dan cemburu dengan apa saya berjaya lakukan.

“Lepas itu akan terpacul soalan atau pandangan apabila gemuk dan tiba tiba kurus serta nampak sakit. Kalau kurus bertukar jadi gemuk mungkin orang fikir kita bahagia.

“Tapi apa yang merisaukan saya apabila berat badan naik dan boleh mendatangkan penyakit.

“Mati sekarang pun tak kira usia. Di usia sekarang, 43 tahun, saya hanya nak sihat. Cakaplah apa mereka nak cakap. Janji saya sihat,” katanya.

Biar apa pun kecaman dan kritikan netizen, Man akui berbangga dengan bentuk fizikalnya kini.

Iklan

“Saya sedar diri memang bukan dilahirkan kacak macam hero Hollywood atau Bollywood.

“Apatah lagi seperti bintang popular di negara kita. Wajah saya memang tahap biasa saja. Orang kampunglah katakan.

“Ada yang cakap muka saya bertambah buruk apabila berjaya menurunkan berat badan. Saya tak boleh ubah kejadian Tuhan. Saya terima diri seadanya.

“Bagaimanapun saya bangga akhirnya berjaya kurus. Soal fizikal itu sangat subjektif. Buruk di mata orang itu, tak semestinya buruk di mata lain,” katanya.

Paling utama Man berkata, dia berharap akan terus memberi inspirasi kepada mereka di luar sana yang masih bergelut untuk menurunkan berat badan.

Iklan

“Saya sendiri tak menyangka boleh turun berat badan. Betul bukan mudah nak kurus. Pasti ada liku yang bertandang. Semua itu cabaran yang mematangkan.

“Tetapi sekali kita dapat dan berjaya di atas apa diusahakan, itulah nikmat hidup yang tak boleh ditukar ganti atau dibayar dengan wang ringgit sekalipun,” ujarnya.

Tambah Man, dia kini lebih yakin dengan dirinya dan selesa dengan berat badan sekarang.

“Saya sekarang lebih selesa dan yakin diri. Nak pakai apa jenis gaya pun sudah boleh.

“Alhamdulillah tawaran berlakon dan kerja melawak pun tak putus.

“Saya selama ini pun orang kenal kerana bakat, rupa itu bonus yang jatuh di tangga kedua,” katanya.