PENGLIBATAN penyanyi bersuara lunak, Adibah Noor dalam program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) agak mengejutkan bagi sesetengah pihak.

Apatah lagi, kredibiliti vokal penyanyi berusia 51 tahun itu sudah berada dalam kalangan penyanyi terhebat Malaysia.

Tidak berselindung, pemilik nama sebenar Adibah Noor Mohamed Omar mengakui terbuka hati menerima tawaran untuk menjadi antara 13 peserta GV8 kerana peminat.

“Setiap kali Gegar Vaganza bersiaran, mesti ada yang bertanya, bila pula giliran saya untuk menyertai? Walaupun tidak ramai, tetapi soalan itu pasti ada saban tahun.

“Jadi apabila ditawarkan menyertai GV8 daripada Astro untuk pertama kali, saya terus bersetuju demi peminat,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Dikenali sebagai seorang yang lantang dalam mengeluarkan pendapat dan pernah menjadi juri, penyanyi yang dikenali menerusi lagu Terlalu Istimewa itu sudah bersedia serta terbuka menerima apa jua kritikan.

Bahkan bekas guru Bahasa Inggeris itu berjanji untuk menjadi ‘anak murid’ yang baik sepanjang pertandingan berlangsung.

“Saya sendiri pernah jadi juri dalam program realiti TV. Bila menyertai program ini, saya bersedia untuk dihakimi dan dikritik secara terbuka.

“Saya akan cuba untuk menjadi ‘anak murid’ yang baik. Ini adalah masa untuk tunjukkan sisi saya yang berbeza,” jelasnya.

Bukan jalan mudah

Dalam pada itu, ditanya mengenai jangkaan ramai yang meletakkan namanya selaku juara musim ini, Adibah berkata, dia hanya mampu mengaminkan setiap doa baik yang diberikan.

Tidak menafikan menyimpan impian untuk menjuarai apa jua pertandingan yang disertai, namun figura ini tidak mengambil mudah saingan yang ada dalam GV8.

Iklan

“Saya rasa ini bukan jalan mudah, saya lihat Nikki Palikat dan Suki Low ada kekuatan mereka yang tersendiri. Begitu juga Shidee dan Aweera.

“Sejujurnya saya sendiri ada rasa gementar ketika sesi latihan sebelum sidang media berlangsung, walaupun pentas nyanyian ibarat pejabat buat saya, tetapi pandemik yang melanda membuatkan ia jadi terlalu asing,” katanya yang bersedia membawakan pelbagai genre lagu termasuk lagu daripada penyanyi generasi baharu seperti Naim Daniel dan Haqiem Rusli.

Adibah mengakui gementar ketika sesi sound check baru-baru ini.

Selain Adibah, Nikki dan Suki, peserta lain yang bakal bersaing dalam GV8 bermula 21 November ini ialah Bandi Amuk, Datuk Fazley Yaakob, Ani Mayuni, Azan Scan, Aweera serta Shidee.

Turut bertanding Kumpulan Nico, Senario serta Alif Aziz dan Upiak Isil masing-masing mewakili Singapura dan Indonesia.

Iklan

Juri tetap menyaksikan Datuk Ramli MS kembali bergandingan bersama Hetty Koes Endang di kerusi juri tetap bersama Datuk Syafinaz Selamat. Sementara Nabil Ahmad dan Jihan Muse kekal sebagai pengacara.

Konsert mingguan GV8 akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya selama 10 minggu pada setiap Ahad, jam 9 malam dan dipancarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria.

FOTO : AZRUL RAFIE (ASTRO)