SINONIM dengan watak-watak antagonis, pelakon Adam Corrie mengakui agak sukar untuk menjayakan karakter yang memerlukan dia menonjolkan sisi sebaliknya.

Bagaimanapun peluang yang diberikan Pencil Pictures menerusi filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD) yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam, digunakan sebaiknya oleh Adam untuk memberikan kelainan.

Menurut pemilik nama lengkap Adam Corrie Lee Abdullah, 52, biarpun sudah lama berlakon, namun dia ternyata kekok melakonkan watak Yusof yang merupakan seorang lelaki baik dan beriman.

“Selalu orang bagi watak pukul-pukul, tapi ini kali pertama saya dapat karakter lelaki baik dan memerlukan penghayatan sangat mendalam.

“Watak ini sebenarnya sangat berat kerana saya sendiri masih baru dalam Islam dan masih lagi dalam proses mengenal ALLAH.

“Orang nampak macam mudah, tetapi kenyataannya ketika menjalani penggambaran, lakonan saya banyak kali kena ulang semula kerana pengarah tak dapat ‘feel’ yang dia nak saya tonjolkan dalam watak tersebut.

“Mujurlah pengarah banyak bersabar dan sungguh-sungguh membantu saya untuk mengeluarkan perasaan sebenar untuk watak itu,” ujar Adam ketika majlis tayangan perdana filem tersebut baru-baru ini.

Usaha Adam berhasil apabila rata-rata penonton mengakui cukup terkesan dengan lakonannya dalam filem tersebut meski hanya tampil menerusi empat babak sahaja.

“Saya tidak sangka lakonan itu memberikan impak yang sebegitu besar pada penonton sehingga ada yang menitiskan air mata.

“Ramai terkejut kerana sebelum ini lakonan saya sering buat orang marah dan benci, tetapi kali ini sebaliknya pula,” akuinya.

Melihat kepada maklum balas penonton itu, Adam berharap dapat menjayakan lebih banyak lagi watak-watak sedemikian pada masa akan datang.

“Saya tak berani kata saya sudah bagus menjayakan watak sebegitu, tetapi seronok dapat mencuba benda baharu dan diterima baik penonton.

Iklan

“Mungkin dah terlalu lama orang tengok saya dengan karakter yang ganas-ganas, jadi inilah masanya saya beri gambaran baharu pada mereka.

“Trademark saya sebelum ini memang dengan watak jahat dan pengarah sendiri tidak mahu beri watak lain kerana anggap saya serasi dengan watak begitu. Asal jahat sahaja, mesti Adam Corrie.

“Selepas filem ini saya harap ada penerbit dan pengarah yang beri peluang untuk saya bawa watak yang baik-baik, ” katanya.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Adam kini aktif dengan kerja belakang tabir menerusi syarikat produksi milikinya bersama seorang rakan, Adam Corrie Production.

“Saya dan pasukan kini sedang sibuk menyiapkan sebuah projek drama episod berjudul Abdullah yang bakal disiarkan di Nurflix.

“Semuanya masih dalam proses awal, tetapi banyak usaha kami curahkan untuk memastikan naskhah tersebut memberikan impak buat penonton.

“Insya-ALLAH karya sarat mesej ini menampilkan saya sebagai teraju utama dengan aksi silat yang belum pernah saya lakukan sebelum ini,” katanya.