Saya tak harap dijadikan idola – Cikgu Shafi
DI SEBALIK sikap tegasnya sebagai guru vokal, Cikgu Shafi memiliki personaliti yang cukup disenangi ramai terutama dalam kalangan pelajar yang pernah menimba ilmu daripadanya.
Tidak hanya meletakkan statusnya sebagai seorang guru, tetapi Shafi atau nama lengkapnya Shafizawati Shariff juga mudah didekati sebagai seorang ibu dan sahabat yang membolehkan para pelajar selesa untuk berguru di kelas vokal kendaliannya.
Bagi yang pernah mengikuti beberapa program realiti TV yang menampilkan Shafi sebagai guru vokal juga pasti dapat melihat bagaimana pendekatan yang digunakan untuk membantu peserta yang terlibat untuk tampil dengan sebuah persembahan membanggakan.
Bukan hanya daripada aspek vokal, tetapi Shafi juga memainkan peranannya dengan memberikan motivasi dan semangat demi melihat anak didiknya berjaya,
“Kalau diikutkan, tugas saya hanya membantu mereka dari aspek vokal sahaja. Bagaimanapun, saya selalunya akan buat lebih daripada itu kerana benar-benar mahu melihat mereka berjaya.
“Mungkin kerana saya terlalu sukakan pekerjaan sebagai seorang guru dan rasa tidak senang hati selagi tak dapat berikan yang terbaik buat pelajar saya.
“Apatah lagi apabila terlibat dengan program berbentuk pertandingan, saya nak pastikan mereka bagus dalam semua benda.
“Jadi saya cuba bantu dari aspek motivasi, emosi dan sebagainya agar mereka dapat fokus pada persembahan di pentas dengan mengetepikan masalah lain,” katanya yang terlibat dalam program Akademi Fantasia, Big Stage dan lain-lain.
Berkorban masa dan tenaga
Akui Shafi, bukan hanya di kelas tetapi dia kadang-kala melanjutkan sesi pembelajaran selepas waktu kelas jika ada keperluan untuk berbuat demikian biarpun terpaksa mengorbankan masa dan tenaganya sendiri.
“Bila pelajar saya berdepan dengan sesuatu masalah, saya akan fikirkan pendekatan terbaik untuk membantunya.
“Kalau ikutkan, habis waktu kelas selesailah tugasan saya. Namun saya tidak sampai hati dan rasa kasihan untuk membiarkan mereka begitu sahaja.
“Walaupun saya juga terikat dengan pelbagai komitmen lain dan ada kehidupan sendiri, tetapi saya sentiasa percaya bila kita tolong orang, ALLAH juga akan bantu permudahkan urusan kita nanti,” katanya yang sentiasa positif.
Melihat kepada personalitinya itu, tidak hairanlah hubungan Shafi dengan para pelajarnya sangat baik, malah dirinya sering dijadikan idola oleh mereka.
“Saya hanya jadi diri saya sendiri dan tak harap dijadikan idola atau apa sahaja gelaran.
“Sebagai seorang guru, saya cuba membina hubungan yang baik dengan setiap pelajar agar mereka memberikan kepercayaan pada saya, sekali gus memudahkan mereka menerima ilmu yang saya kongsi,” jelasnya.
Tidak hanya mengendalikan kelas vokal untuk nyanyian, pemilik dan pengasas Shafi Vokal Studio itu juga turut mengadakan kelas vokal untuk pelbagai bidang lain.
“Mungkin ramai yang fikir kelas vokal ini hanya untuk mereka yang terlibat dalam bidang nyanyian sahaja, tapi sebenarnya ia melibatkan banyak bidang lain juga.
“Saya turut mengadakan kelas vokal untuk mereka yang bergelar pengacara, pembaca berita, penceramah, orang politik dan pelbagai bidang yang memerlukan penggunaan vokal dengan baik untuk menyempurnakan tugasan mereka.
“Alhamdulillah dari masa ke semasa saya sering melihat perkembangan positif daripada para pelajar saya dan ia secara tidak langsung menaikkan semangat saya untuk terus berkongsi ilmu yang saya ada dengan sebaiknya,” kata Shafi kepada SinarPlus.
(FOTO: Instagram Cikgu Shafi)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang