BIARPUN banyak perancangan dan aktiviti seninya tertangguh kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk kali kedua, penyanyi Amir Masdi mengisi masa tersebut dengan merakam dan menulis lagu.

Menurut pemilik nama penuh Amir Syazwan Masdi, 25, dia kini dalam proses merakamkan single terbaharunya di rumah yang bakal diriliskan tidak lama lagi.

“Sepatutnya dalam tempoh ini saya terlibat dengan pelbagai aktiviti dan perancangan yang telah diatur awal berkaitan kerjaya seni.

“Apabila PKP dilaksanakan semuanya ditangguhkan dan saya mengambil peluang mengisi masa tersebut juntuk memberi fokus kepada proses rakaman single terbaharu,” katanya.

Tambah Amir, single keenam itu sangat istimewa kerana ia merupakan lagu pertama ciptaan saya sendiri dan rakamannya dilakukan di rumah.

“Proses itu menjadi lebih mudah kerana saya memiliki peralatan rakaman lagu sendiri di rumah.

“Walaupun setnya ringkas, tetapi ia mencukupi untuk buat rakaman selain tips yang diberikan rakan-rakan pemuzik untuk rakam lagu.

“Ia jadi lebih mudah kerana saya mempunyai banyak masa untuk fokus dan lakukan yang terbaik sehingga saya sendiri berpuas hati,” katanya.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Kau Sakiti itu juga turut membuat latihan sendiri untuk persiapan Anugerah Juara Lagu ke-35 yang menyaksikan dirinya sebagai salah seorang finalis.

Biarpun AJL35 yang sepatutnya berlangsung pada Februari depan ditangguhkan ke satu tarikh lain disebabkan PKP dan situasi semasa Covid-19, Amir mengakui tetap teruja menantikan saat itu.

“Ini kali pertama saya berjaya melayakkan diri ke AJL dan tentunya teruja menantikan detik itu, namun saya akur dengan penangguhan itu ada;ah untuk kebaikan bersama.

“Bonusnya saya mempunyai lebih masa untuk membuat persiapan, tetapi dalam masa sama debaran untuk beraksi di pentas berprestij itu menjadi lebih panjang buat saya.

“Alhamdulillah persiapan untuk lagu Kau Sakiti dah hampir seratus peratus, cuma bila ia ditangguhkan, rasa takut dan berdebar yang saya rasai ini akan menjadi lebih lama untuk dilepaskan.

Iklan

“Maklumlah pengalaman pertama dan satu peluang keemasan yang perlua saya gunakan dengan sebaiknya,” ujar Amir.

Sementara itu, Amir yang selesa dengan imej berambut panjang itu tidak menafikan lagunya lebih dikenali berbanding dirinya sendiri, biarpun sudah hampir lima tahun dalam industri.

Bagaimana Amir berkata, dia langsung tidak berkecil hati, malah berbesar hati apabila peminat lebih menilai lagu dan bakat nyanyiannya berbanding perkara lain.

“Saya tak kisah sangat pun orang tak kenal saya, tetapi yang penting mereka dapat terima lagu-lagu saya dengan baik.

Iklan

“Saya percaya bila orang kenal lagu, lama-lama mereka akan cari penyanyi juga. Malah ia juga menjadi pembangkit semangat untuk saya lebih berusaha ke arah itu.

“Cuma saya rasa sedikit terganggu apabila ada orang bergurau ‘kasar’ tentang perkara ini seolah-olah mempersoalkan kewujudan saya,” akhiri Amir.

 

(FOTO: Instagram Amir Masdi)