PELAWAK, pelakon dan pengacara, Zizan Razak mengambil pendekatan mengunci mulut daripada memberi sebarang komen mengenai perkahwinan pelakon, Mira Filzah dan isu kontroversi membabitkan Jennie Blackpink seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, Zizan juga enggan memberi komen mengenai gurauan netizen berhubung sekeping gambar memaparkannya bersama tiga pelakon wanita yang pernah dikaitkan dengannya iaitu Juliana Evans, Emma Maembong serta Mira yang sudah pun mendirikan rumah tangga.

“Saya tak nak terlibat, tak apalah. Maaf,” ulasnya ringkas.

Zizan atau nama sebenarnya, Mohammad Razizan Abdul Razak, 36, berkata, fikirannya agak bercelaru selepas mendapat perkhabaran keadaan kesihatan neneknya yang agak membimbangkan.

Justeru dia berharap semua pihak dapat memahami situasinya sekarang.

“Saya tahu bila saya seorang pelawak, semua orang nak bergurau. Tapi saya bukan dalam mood itu sekarang ini.

“Buat masa ini, saya tak fikir mengenai kahwin atau apa. Apa yang menjadi kepentingan buat saya adalah untuk menjaga ibu saya.

“Ditambah pula keadaan nenek yang sedang sakit, jadi ia agak membimbangkan. Saya sudah kembali sibuk dengan kerja, nenek pula dalam keadaan uzur.

ZIZAN-NENEK
Zizan mendedahkan dia cukup bimbang dengan keadaan kesihatan neneknya kini.

“Saya bimbang tidak dapat pulang ke kampung jika berlaku apa-apa kerana tidak mahu menyusahkan produksi.

“Sebab itu, emosi saya sedikit terganggu kerana kesibukan kerja dan memikirkan keadaan nenek.

“Sejujurnya, saya tidak mendapat rehat yang cukup sejak kebelakangan ini,” ujarnya yang memberitahu doktor mengesyaki neneknya yang berumur lebih 80 tahun menghidapi kanser.

Kembali sibuk

Iklan

Berkongsi perkembangan terbaharunya, Zizan berkata, selain sibuk dengan program The Masked Singer yang akan bersiaran tidak lama lagi, dia juga sedang menjalani latihan bersama Johan dan Datuk Afdlin Shauki untuk filem terbaharu, Baik Punya Ahlong.

“Saya bersetuju untuk terlibat dengan program The Masked Singer selepas melihat beberapa episod program asal dari Korea itu.

“Ia program yang bagus kerana menguji kepantasan minda juri dan penonton. Bagi saya ia program urban yang kena dengan tahun ini. Dalam masa sama, hiburan untuk penonton di rumah juga.

“Selain itu, saya juga sibuk dengan latihan untuk filem baharu. Saya tahu ramai yang rindu untuk melihat saya kembali bergandingan dengan Johan dan saya harap filem ini akan mengubati penantian mereka.” ujarnya.

Iklan

Tambah Zizan, walaupun penularan wabak pandemik Covid-19 memberi kesan kepada ramai, namun dia bersyukur kerana tidak banyak terjejas.

Katanya, sepanjang tempoh kawalan pergerakan baru-baru ini, banyak tawaran melibatkan kerja menerusi sosial medianya.

“Sejujurnya ketika PKP baru-baru ini, saya banyak terfikir bagaimanapun orang yang tidak bekerja mahu menyara kehidupan mereka.

“Saya juga terlibat dengan projek amal bersama Neelofa dan Heliza Helmi. Selain itu jika sesiapa ajak saya kerjasama untuk program amal seperti muncul dalam sesi siaran langsung pun, saya tak keberatan untuk membantu. Alhamdulillah walau tak dapat berada di set, tapi ramai yang memerlukan sosial media saya dan ia sedikit sebanyak membantu,” jelasnya.