TIDAK pernah berhasrat menyembunyikan masa lalunya, penyanyi Radhi OAG terbuka untuk berkongsi pengalamannya ketika terlibat dengan penagihan dadah kepada masyarakat.

Bukan untuk berbangga dengan kesilapan yang pernah dilakukan, tetapi kata Radhi atau nama sebenarnya, Mohd Radhi Razali, 43, ia lebih kepada perkongsian ke arah kebaikan menerusi nasihat dan motivasi kepada anak muda.

Menurut Radhi, perkongsian tersebut akan dilakukan apabila memulakan tugasnya sebagai penyampai radio dalam talian, Manthul FM yang  memulakan siaran pertamanya pada Oktober.

“Manthul FM akan menjadi platform untuk saya berkongsi segala pengalaman lalu sebagai penagih yang kini dalam proses pemulihan.

“Stesen radio ini berbeza dengan yang lain kerana memberi ruang kepada orang macam saya untuk berkongsi pengalaman.

“Jadi saya labelkan Manthul FM sebagai radio ‘pemulihan’ pertama di Malaysia kerana keberanian mereka,” kata Radhi.

Dalam pada itu, kata Radhi, dia bersedia menerima sebarang kecaman daripada pendengar mahupun netizen apabila memulakan perkongsiannya kelak.

“Saya tak malu untuk berkongsi dan tak kisah pun jika ada orang nak kecam kerana niat saya untuk berkongsi demi kebaikan.

“Bukan sahaja mengenai penagihan saya sebelum ini, tetapi juga proses pemulihan saya yang masih lagi berjalan sehingga hari ini.

“Bila berkongsi begini saya akan sentiasa mengingatkan diri agar tidak berpatah balik ke masa silam. Jadi keterbukaan ini kebaikannya bukan sahaja untuk, saya, tetapi mungkin juga untuk mereka yang senasib.

“Saya tak takut dengan kecaman, kerana saya hanya mahu berterus terang. Lagipun, selama ini saya juga pernah dikecam macam-macam, tapi saya OK saja,” tegasnya yang akan mengendalikan slot tersebut pada sebelah pagi.

Tambah Radhi, apa yang diharapkan agar masyarakat bersikap terbuka dan sama-sama membantu mereka yang mahu berubah.

Iklan

“Kalau mereka terbuka untuk berkongsi, saya lagi suka kerana selalunya orang kita selalunya malu nak berkongsi benda-benda seperti ini.

“Emak saya sendiri dulu pun malu dengan kawan-kawan dia atas apa yang terjadi pada saya, tetapi apabila saya fahamkan dia, alhamdulillah dia dapat terima kesilapan itu dan sama-sama bantu saya untuk pulih,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Radhi mengakui berusaha untuk menjalani kehidupan yang lebih baik demi tiga anaknya daripada dua perkahwinan terdahulu iaitu iaitu Muhamad Rifdi Muslim, 14, Nur Aisyah, 5, dan Muhammad, 4.

Dia yang kini yang berstatus bapa tunggal, mahu memastikan anak-anaknya bahagia dengan kehidupan yang dijalani.

Iklan

“Meskipun tidak tinggal bersama dengan anak sulung dan anak bongsu, hubungan kami sangat baik.

“Anak sulung saya, selalu juga datang melawat adiknya, Nur Aisyah yang kini berada di bawah jagaan saya dan itu sudah cukup buat saya gembira,” kata Radhi.

 

(FOTO: Rosli Talib)