LEBIH 15 tahun dalam indusri seni, kredebiliti komposer dan penyanyi Faizal Tahir semenangnya diakui ramai menerusi deretan karyanya yang diterima ramai.

Malah Faizal yang mempunyai identiti muziknya yang tersendiri itu menjadi antara idola bagi kebanyakan generasi baharu, baik dalam bidang penciptaan lagu mahu pun nyanyian.

Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohd Tahir, 42, sering dilihat menghasilkan karya yang sarat dengan mesej positif, bukan sahaja untuk dirinya sendiri, tetapi juga untuk pendengar dan masyarakat umumnya.

Terbaru, Faizal yang popular menerusi lagu Ragaman itu tampil menerusi single Nobody, terbitan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia.

“Apa yang saya cuba nak disampaikan dalam lagu ini sebenarnya untuk diri saya sendiri terlebih dahulu, yang mana saya ini nobody tanpa somebody yang saya boleh beri dan curahkan kasih sayang.

“Selain mendedikasikan rasa cinta dalam diri saya kepadanya. Menjaga dengan baik dengan jujur, ikhlas kerana ALLAH SWT.

“Apabila buat macam itu, barulah dapat hadiah teragung iaitu bersama-NYA di syurga nanti,” ujarnya.

Tambah Faizal, Nobody yang merupakan sebuah lagu modern power ballad menjadi karya unik yang tampil dengan mesejnya yang tersendiri,

“Pada saya keunikan lagu ini adalah mesej yang ingin disampaikan kerana muzik adalah muzik.

“Kita boleh berikan pelbagai jenis muzik yang sedap didengar, tapi apa yang penting adalah mesej yang ingin disampaikan.

“Bagi saya, lagu ini adalah sebuah mesej lain daripada yang lain yang pernah saya sampaikan sebelum ini,” katanya yang mengharpkan lagu tersebut dapat memberi manfaat kepada pendengar.

Sebagaimana kebanyakan karya ciptaannya yang lain, lagu tersebut sekali lagi menyaksikan kerjasama Faizal bersama beberapa komposer iaitu Firdaus Rahmat, Mas Dewangga, Mage dan Mike Chan.

Menurut Faizal, dia selesa bekerja dalam pasukan kerana dapat berkongsi banyak idea sekali gus mampu melahirkan sebuah karya yang terbaik dan unik.

“Saya rasa tidak ada masalah bekerja dengan banyak kepala kerana sudah biasa. Ketika mula menjadi komposer, saya kerja sendiri, seterusnya berdua dan bertiga.

Iklan

“Saya kemudiannya sedar apabila bekerja dalam kumpulan atau pasukan kita lagi kuat, idea banyak dan berbeza terutama bekerja dengan orang mempunyai pengalaman lain.

“Bagi saya setiap orang diberikan kelebihan dan idea berbeza, apa yang penting semua sangat terbuka, bertolak ansur dan boleh terima idea masing-masing.

“Malah boleh terima apa saja perubahan yang kita buat apabila bekerjasama. Jadi, sebenarnya bekerja dalam kumpulan lebih senang,” katanya.

Berkongsi mengenai muzik video (MV) untuk lagu itu, Faizal berkata, ia masih dalam proses pembikinan.

Iklan

“Kita sedang dalam perancangan untuk menyiapkan MV rasmi. Apa boleh saya katakan, MV ini paling unik dan mencabar untuk saya dan pasukan terbitkan.

“Ia sangat lain. Jadi, saya sangat teruja dan tak sabar untuk lihat hasilnya,” kata Faizal.

 

(FOTO: Universal Music Malaysia)