SETELAH lama menghilangkan diri daripada radar industri hiburan, penyanyi Shahir Zawawi kini mahu kembali merencana kerjaya seninya dengan semangat baharu.

Meskipun ada pihak yang meragui hasrat tersebut disebabkan sikap acuh tak acuhnya sebelum ini, Shahir, 33, mengakui kini semakin matang dengan pengalaman yang dilalui.

“Sebenarnya saya takut nak berjanji kerana bimbang jika ia tidak menjadi kenyataan. Bila orang bertanya, saya hanya berkongsi perancangan yang ada, namun ALLAH sebaik-baik perancang.

“Pada satu-satu ketika itu, saya rasa dah buat keputusan atau tindakan dengan betul, tetapi pada akhirnya ALLAH berikan laluan yang lain.

“Apa-apapun, seiring dengan kematangan diri, saya kini lebih berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu tindakan dan banyak belajar daripada pengalaman lalu,” jelasnya.

Membuktikan kata-katanya, penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu, memberanikan diri untuk menghambil peluang menyertai program nyanyian berkonsepkan realiti TV Islamik, terbitan TV AlHijrah iaitu Hijrahkan Laguku yang sedang hangat bersiaran pada setiap Sabtu, jam 9 malam.

“Saya sertai program ini bukan bermaksud nak bagitahu sudah berhijrah, tetapi ia kerana saya sukakan konsep yang diketengahkan, selain merupakan langkah awal saya untuk kembali aktif dalam industri.

“Kalau ikutkan perancangan asal, saya sebenarnya mahu buat comeback pada tahun lalu, namun hasrat tersebut tidak menjadi kenyataan disebabkan pandemik Covid-19 yang tiba-tiba melanda dunia.

“Jadi apabila TV Al-Hijrah menawarkan peluang untuk saya beraksi di pentas Hijrahkan Laguku, saya kira ia adalah platform terbaik untuk meneruskan perancangan yang tertangguh sebelum ini,” katanya yang kini menetap di Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.

Mengharap sokongan

Bagaimanapun, ungkap Shahir, kali ini dia mahu menggunakan kesempatan yang ada dengan sebaik mungkin dan kembali mendapatkan kepercayaan daripada peminat.

“Sebelum ini saya mungkin mahu mencuba banyak benda sehingga sukar fokus pada satu-satu perkara. Ia sebagai proses dalam kehidupan.

Iklan

“Saya harap perjalanan kali ini dipermudahkan dan tiada perkara-perkara yang boleh membuatkan saya hilang fokus pada kerjaya.

“Mungkin sebelum ini ada yang salah faham dan fikir saya suka lari daripada masalah, tapi hakikatnya saya seorang yang tidak mahu memanjangkan sesuatu masalah,” tegas Shahir.

Berkongsi perancangannya selepas ini, selebriti kelahiran Ipoh, Perak itu bakal tampil dengan sebuah single baharu selepas menyelesaikan tugasan dalam program Hijrahkan Laguku yang berlangsung selama lapan minggu bermula 20 November lalu.

Iklan

“Saya memang dah lama rancang nak keluarkan single baharu, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana sedar akan kekangan prosedur operasi standard (SOP) yang tentunya akan membataskan banyak aktiviti promosi.

“Alhamdulillah keadaan kini bertambah baik dan jika tiada aral melintang, lagu baharu itu akan dihasilkan pada awal tahun depan.

“Buat masa ini, saya mahu fokus terlebih dahulu kepada program Hijrahkan Laguku,” katanya.