TAHUN 2020 barangkali akan menjadi tahun yang paling sukar dilupakan buat ramai orang.

Apatah lagi, dalam membiasakan diri menjalani kehidupan dengan normal baharu, kita mengharapkan tahun 2021 akan menjadi tahun yang lebih baik buat semua.

Begitulah yang dirasai oleh pelakon dan pengacara, Scha Alyahya atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya.

Menyifatkan tahun ini cukup mencabar buat semua orang, Scha, 37, mengakui tidak betah untuk duduk diam sementelah merupakan individu yang aktif, biarpun kini sedang hamil.

“Saya memang jenis tak reti duduk diam. Kalau ada masa terluang memang macam-macam aktiviti akan saya buat.

“Sejujurnya rindu untuk pergi melancong dan menunaikan umrah. Selain itu, kadang-kadang rindu juga nak tonton wayang.

“Harapan saya untuk tahun 2021 nanti, akan menjadi tahun yang lebih baik untuk tahun-tahun sebelumnya bagi semua orang.

“Saya juga berharap impian saya untuk menjadi usahawan berjaya dan hasrat untuk menunaikan umrah tercapai tahun depan,” katanya kepada Sinar Harian.

Keluarga bahagia Scha Alyahya... Bersama suami, Awal Ashaari dan anak sulung mereka, Lara Alana.

Ditanya mengenai kehamilan keduanya, Scha berkata, kali ini lebih mencabar kerana dia mengalami alahan lebih lama daripada mengadungkan Lara Alana, 6 tahun.

Iklan

“Kali ini lebih mencabar sebab alahan sangat lama dan sekarang pun masih ada alahan sikit sikit. Mengidam pelik-pelik tiada cuma baru-baru ini saya teringin makan makanan Penang, tetapi sekarang dah hilang keinginan itu.

“Cuma yang sama hanya tabiat saya yang terlalu suka mengemas dan tidak tahu duduk diam walau di rumah,” jelasnya.

Tambah Scha, dia setakat ini belum membuat persiapan dan tidak kisah soal jantina anaknya.

“Saya tak kisah lelaki atau perempuan, apa yang saya harapkan lebih sihat dan baik.

“Persiapan pun belum buat, saya ingat tunggu dah masuk lapan bulan baru buat persiapan. Insya-ALLAH saya akan mengekalkan huruf L dan A seperti Lara Alana untuk anak kedua nanti,” katanya.

Iklan

Kerjasama dengan Meeracle

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Scha berkata, dia baharu sahaja menjadi duta Meeracle untuk tempoh sembilan bulan.

Scha menjadi duta Meeracle selama 9 bulan.

Selain itu, dia kini banyak terlibat dengan penggambaran bersama jenama fesyen dan bakal tampil dengan sebuah program.

“Saya tertarik untuk menjadi duta Meeracle kerana melihat keberkesanan setelah menggunakannya. Dan saya kagum bila Meeracle banyak membantu mereka yang mahu menjadi usahawan berjaya dengan menyediakan platform yang sepatutnya.

“Untuk karier seni, filem lakonan saya, Bikin Filem kini sedang ditayangkan di Astro First. Pada awalnya ia untuk tayangan pawagam, tapi dalam situasi sekarang, penerbit tayangkan di Astro First.

“Kalau ikutkan saya akan tampil dengan sebuah program TV baharu tidak lama lagi. Bagaimanapun ia bergantung dengan situasi semasa (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau arahan baharu daripada kerajaan).

“Untuk lakonan, filem Air Force akan ditunda tarikh tayangan ke tahun depan dan ikutkan saya ada satu telefilem yang akan menjalani penggambaran.

“Selain itu saya banyak penggambaran dengan jenama fesyen dan paling terkini kolaboratif saya bersama Lilit akan dlincarkan bulan depan,” jelasnya.