SETELAH lama menghilang daripada radar dunia hiburan, penyanyi popular era 1980an, Ben Nathan bakal kembali mengubati rindu para peminatnya.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Stanza Sepi Sekeping Hati itu akan menampilkan single baharu pada awal tahun depan.

Penghasilan single berkenaan merupakaan inisiatif pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave yang sebelum ini berjaya membawa Ben keluar daripada kehidupan gelandangannya dan kembali menjalani kehidupan normal.

“Pihak YKAT menerima dana berjumlah RM20,000 dari pihak Cendana bagi tujuan majlis pelancaran single Ben Nathan.

“Kami telah menerima kelulusan dana tersebut pada tahun lepas, namun atas faktor pandemik dan juga faktor kesihatan Ben, kami terpaksa menangguhkannya.

“Kami akan meneruskan pelancaran ini pada bulan hadapan. Lagu tersebut sudah disiapkan sepenuhnya dan kini dalam proses untuk rakaman video muzik sebelum dilancarkan,” ujarnya.

Teruja dengan perkembangan positif penyanyi tersebut, DJ Dave mengharapkan segala perancangan yang diatur berjalan lancar.

“Kami ada bawa Ben ke salah sebuah pusat beli-belah untuk membeli pakaian sebagai persediaan rakaman video muzik singlenya nanti.

“Saya gembira melihat dia tampak lebih tampan dan sihat,” ujarnya.

Ben, 60, yang sebelum ini menarik perhatian umum apabila hidup gelandangan dan mengalami masalah kesihatan kini menetap di salah sebuah rumah jagaan di Petaling Jaya selain turut dijaga oleh adiknya, Bob.

Iklan

Menurut Bob, 47, Ben menyuarakan hasratnya untuk menyanyi di hadapan penonton dan berharap agar masih ada peminat yang merinduinya.

“Ben baik-baik sahaja di sana, makanan dan penjagaan dirinya dikawal oleh pihak pengurusan rumah jagaan itu. Saya dapat lihat perubahannya, Ben sudah boleh menjaga dirinya sendiri.

“Saya nampak abang saya gigih berlatih bernyanyi, katanya tak sabar bertemu peminat. Saya sebagai adik sentiasa berharap agar beliau kekal dengan semangat itu.

Iklan

“Malah berharap dengan pelancaran muzik video itu nanti orang dapat menerima beliau kembali di dalam industri,” katanya yang sentiasa melawat Ben di rumah tersebut bagi memastikan keadaan abangnya sentiasa terurus.

Dalam pada itu, pelancaran single terbaharu Ben juga bertujuan untuk memberikan sumber pendapatan kepada penyanyi itu, sekali gus dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Setakat ini, kos perbelanjaan di rumah jagaan tersebut ditanggung oleh adiknya. Namun, sejak ibu mereka kurang sihat Bob turut perlu menanggung perbelanjaan perubatan ibu mereka.