Selebriti bantu kempen selamatkan ruang seni Revolution Stage

Revolution Stage
Revolution Stage
A
A
A

SETELAH pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan ruang persembahan seni pentas untuk anak-anak muda berkarya, Revolution Stage akhirnya terpaksa memohon bantuan orang ramai.

Revolution Stage yang beroperasi di One Avenue, Petaling Jaya, sebelum ini menjadi organisasi yang aktif menerbit dan menyediakan ruang untuk latihan dan pementasan teater berskala kecil, bengkel penulisan skrip serta lakonan dan lain-lain.

Bagaimanapun, ia terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia lebih setahun lalu.

Mereka perlu menyelesaikan bayaran sewa tertunggak untuk ruang tersebut sebanyak RM23,000 dalam masa 10 hari.

“Perjuangan menyelamatkan ruang seni anak-anak muda bergiat dan beraktiviti seni teater menerusi Projek Bilik Sempit serta Studio Revolution Stage hanya tinggal 10 hari. Selepas itu kami akan kena halau.

“Kita akan kehilangan ruang teater kita jika kami tidak dapat mengumpul RM23,000 untuk membayar baki sewa tertunggak sejak tahun lalu.

“Kami sangat memerlukan bantuan anda dan ini adalah harapan kita yang terakhir.

Hanya sumbangan kalian akan menolong kami menyelamatkan ruang seni Revolution Stage ini,” ujarnya

Meski masa semakin suntuk, Revolution Stage tetap berusaha mencari pelbagai alternatif sehingga ke titik terakhir.

“Kami tidak mahu mengalah. Hanya tinggal azam dan kempen ini yang sedang kami usahakan,” katanya.

Kempen menyelamatkan ruang seni Revolution Stage yang sedang giat dijalankan di laman media sosial itu turut mendapat perhatian ramai penggiat seni yang sama-sama membantu menarik perhatian orang ramai memberikan sumbangan.

Antaranya ialah Sherry AlHadad, Amerul Affendy, Sharifah Amani dan ramai lagi.

Bagi mereka yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan terus kepada Revolution Stage menerusi akaun bank yang dikongsikan atau laman web revolutionstage.com.

Selain itu, orang ramai juga boleh menyertai kempen itu dengan membeli mana-mana pakej sumbangan yang disediakan organisasi tersebut.

Untuk keterangan lanjut boleh terus ke platform media sosial Revolution Stage.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca